
Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) ke-138 yang dipengerusikannya di Putrajaya secara bersemuka hari ini.
Ismail berkata, tanah projek yang melibatkan jajaran diluluskan secara perizaban, manakala tapak pusat operasi, pejabat atau stesen diluluskan secara pemberimilikan.
“Mesyuarat membuat keputusan agar kerajaan negeri membantu menyelesaikan isu halangan di atas tanah kerajaan negeri yang terlibat dengan projek kerajaan berkepentingan awam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan berhubung kadar premium yang dikenakan untuk pemberimilikan dan cukai tanah oleh kerajaan negeri, selaras ketetapan Majlis Tanah Negara.
Katanya, kerajaan bertanggungjawab menyediakan kemudahan infrastruktur berkualiti untuk kemudahan Keluarga Malaysia bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, bagaimanapun isu tanah menyebabkan kelewatan dan secara tidak langsung memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.
Selain itu, Ismail berkata, Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) akan mula dilaksanakan bulan depan, melibatkan 480 lokaliti rintis di seluruh negara yang turut membabitkan penglibatan semua pihak, khususnya kerajaan negeri.
Beliau berkata, program itu menggunakan beberapa pendekatan, termasuk menubuhkan unit kemiskinan khusus di peringkat persekutuan, negeri dan daerah, selain mewujudkan pangkalan data kemiskinan bersepadu serta berpusat.
Katanya, pendekatan lain adalah mempertingkatkan program dari bawah ke atas melalui pendekatan keseluruhan negara dan melaksanakan penyelesaian kemiskinan pada peringkat akar umbi.
Menurutnya, program bertujuan membasmi miskin tegar pada 2025 itu akan bermula dengan fasa satu melibatkan 80 lokaliti rintis di seluruh negara, sementara fasa dua dan tiga bermula September serta Disember tahun ini, manakala fasa empat sehingga enam bakal dilaksanakan tahun depan.