Memahami endometriosis dan PCOS

Memahami endometriosis dan PCOS

Ramai wanita tidak dapat membezakan antara dua penyakit ini memandangkan terdapat simptom yang sama.

Haid yang tidak menentu atau menyakitkan mungkin menandakan wujud keadaan yang lebih serius seperti endometriosis atau PCOS. (Gambar Freepik)

Haid yang lambat, menyakitkan dan tidak menentu mungkin menandakan keadaan ginekologi yang lebih serius seperti endometriosis dan Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).

Namun tanpa pemeriksaan dan diagnosis tepat, ramai wanita tidak dapat membezakan antara kedua-duanya memandangkan terdapat simptom yang sama.

Berikut sedikit pencerahan mengenai apa yang membezakan dua keadaan ini, pilihan rawatan serta langkah yang boleh diambil untuk membolehkan pesakit mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik.

Haid yang tidak menentu dan menyakitkan.

Menurut pakar obstetrik dan ginekologi Dr Farah Leong Rahman dari Sunway Medical Centre Velocity, PCOS disebabkan tahap hormon yang tidak normal dalam badan, serta tahap insulin yang tinggi.

Simptom biasa termasuk haid yang jarang berlaku dan tidak menentu, peningkatan berat badan, muka berminyak, pertumbuhan bulu di tempat yang tidak diingini, atau masalah jerawat disebabkan peningkatan penghasilan hormon lelaki.

Endometriosis pula berlaku apabila tisu-tisu yang melapisi rahim mula tumbuh di tempat lain seperti pada ovari, rahim, tiub falopio, usus, malah dalam keadaan jarang, juga di paru-paru.

“Simptom yang dialami oleh setiap wanita mungkin berbeza, tetapi mereka boleh mengalami haid yang menyakitkan, sakit semasa atau selepas melakukan hubungan seks, atau sakit yang berterusan di bahagian bawah perut atau belakang,” katanya.

Tanda-tanda lain termasuk sakit berkaitan dengan pergerakan usus dan pundi kencing, atau kesukaran untuk hamil.

Suseptibiliti

Endometriosis menjejaskan satu daripada 10 wanita di seluruh dunia, lazimnya mereka yang berada di fasa usia reproduktif, kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Dr Ashley Chung Soo Bee.

Sementara itu, kajian menunjukkan 25-30% wanita dengan PCOS mempunyai ibu atau adik-beradik lain yang turut menghidapnya.

“Ahli keluarga wanita yang menghidapi PCOS mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami keabnormalan metabolik yang sama,” jelasnya.

Ada juga keadaan apabila pesakit mungkin mengalami kedua-dua penyakit itu pada masa yang sama, justeru penting untuk mereka mendapatkan nasihat dan bantuan perubatan sewajarnya supaya boleh mendapat rawatan lebih tepat.

Peluang untuk hamil

Wanita yang menghidap PCOS atau endometriosis mampu hamil secara semula jadi, namun ada juga sebilangan pesakit yang memerlukan bantuan perubatan.

“Bagi wanita dengan PCOS yang mengalami haid tidak teratur atau haid yang jarang berlaku, terdapat kekurangan ovulasi menyebabkan kesukaran untuk mengenal pasti tempoh subur mereka,” kata Dr Farah.

Sementara itu, katanya, wanita dengan endometriosis pula mungkin mempunyai anatomi pelvis yang terbalik, parut tisu di sekeliling ovari dan tiub falopio, seterusnya menyebabkan persekitaran kurang kondusif untuk kehamilan.

Kesan jangka panjang

Sista endometriosis boleh menyebabkan pendarahan yang mengakibatkan kesakitan, keradangan, parut dan kemungkinan berlaku kerosakan organ.

Dr Chung berkata, diagnosis PCOS juga bererti seseorang “berisiko lebih tinggi untuk mendapat masalah kesihatan jangka panjang lain, seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kemurungan dan isu psikologi, serta kanser rahim.”

Rawatan dan langkah seterusnya

Dr Farah berkata, walaupun dua keadaan ini tidak boleh sembuh sepenuhnya, ada rawatan yang dapat mengurangkan simptom pesakit.

“Rawatan utama bagi wanita yang menghidap PCOS adalah perubahan gaya hidup seperti mengekalkan berat badan optimum, mengamalkan corak pemakanan sihat dan seimbang, serta melakukan senaman dengan kerap,” katanya.

“Bagi wanita dengan endometriosis, pengurusan dan cara rawatan penyakit ini bergantung pada tahap keseriusan simptom, dan sama ada ia mengganggu kualiti kehidupan seharian pesakit.”

Katanya, pembedahan mungkin dilakukan sekiranya rawatan perubatan gagal, terutama mengambil kira sama ada wanita terbabit mahu merancang untuk hamil.

Kedua-dua pakar ini berkata, wanita yang menunjukkan simptom berkenaan atau memerlukan nasihat, supaya menemui doktor pakar yang boleh menjalankan ujian dan pemeriksaan lanjut bagi memastikan diagnosis yang tepat. Ini termasuk dengan menggunakan imbasan ultrabunyi pelvis atau ujian hormon.

Diagnosis yang tepat disusuli rawatan dan penjagaan sesuai dapat memastikan wanita yang mengalaminya meneruskan kehidupan seharian dengan lebih baik walaupun mengalami penyakit itu.

Artikel ini disediakan oleh Sunway Medical Centre Velocity sempena Hari Wanita Sedunia hari ini, dan Bulan Kesedaran Endometriosis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.