
Dr Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, sistem pendidikan sekolah rendah di negara ini berdepan isu kurikulum terlalu padat dan banyak jika dibandingkan negara lebih maju seperti Singapura, Jepun, Australia atau Finland.
“Kesan beban mata pelajaran ini menyebabkan guru-guru tidak berupaya melakukan lebih banyak aktiviti yang menyeronokkan dan mengembangkan potensi murid-murid dan pada masa sama murid terbeban dengan kerja sekolah yang tidak perlu,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, beliau juga bersetuju subjek Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) antara lapan hingga 10 mata pelajaran seminggu bagi Tahap 1 menjadi punca kepada isu beg berat yang sekian lama dihadapi murid.
“Setiap mata pelajaran pula mempunyai sukatan pelajaran yang padat dan tinggi. Ramai ibu bapa mengeluh tahap kesukaran yang dilihat tidak sesuai untuk tahap keupayaan murid Tahap 1,” katanya.
Beliau memberi contoh negara maju seperti Finland dan Sweden yang mengamalkan kurikulum modular berjaya menghasilkan hanya empat atau lima subjek berbanding lapan hingga 10 di negara ini, malah memetik subjek Alam dan Manusia satu ketika dulu di negara ini yang merangkumkan pendidikan Sains, Sejarah, Alam Sekitar dan Moral.
Justeru, beliau mencadangkan kurikulum modular berkenaan melibatkan empat teras utama, iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M); kemahiran komunikasi lisan dwibahasa; bimbingan asas agama, moral dan adab; serta kesihatan dan jasmani.
“Sistem pendidikan negara bagi Tahap 1 sekolah rendah sepatutnya memfokuskan empat matlamat utama ini. Ini memberi peluang untuk guru merancang dan melaksanakan pengajaran secara aktiviti bebas yang menyeronokkan murid tanpa perlu penggunaan buku teks semata-mata,” katanya.
Ketika ini, KPM menetapkan sembilan subjek KSSR termasuk mata pelajaran tambahan, iaitu pilihan bahasa bagi murid Tahap 1.
Pada 6 Mac, KPM mengumumkan tujuh ketetapan termasuk penyediaan lokar di sekolah rendah dan penyusunan semula jadual waktu bagi menangani isu beg berat yang dihadapi murid.
Selain itu, KPM menggariskan ketetapan dari aspek bilangan buku latihan; penggunaan buku aktiviti dan buku kerja; pengenalan buku teks digital; pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP); serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sementara itu, Syed Agil Alsagoff dari Universiti Putra Malaysia berpendapat, KPM harus menentukan sukatan pelajaran yang lebih utama dan penting untuk memenuhi keperluan pembinaan jati diri murid, berbanding membebankan mereka dengan pelbagai subjek kurikulum yang kurang penting pada awal usia persekolahan.
“Di negara maju antaranya Finland dan United Kingdom, penyertaan murid-murid pada awal persekolahan merupakan latihan untuk membiasakan mereka dengan budaya alam persekolahan.
“Pengajaran kurikulum lebih menekankan kaedah pembelajaran keseronokan bagi memancing niat dan hasrat mereka untuk menyukai alam persekolahan, tidak hanya terikat kepada sukatan pelajaran dalam buku teks semata-mata,” tambahnya.