Kaji semula projek perumahan berkepadatan tinggi di ibu negara, Teresa beritahu Shahidan

Kaji semula projek perumahan berkepadatan tinggi di ibu negara, Teresa beritahu Shahidan

Pemimpin DAP itu mendakwa projek berdensiti tinggi dikhuatiri akan menyumbang lebih banyak banjir kilat di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok bimbang dengan projek berkepadatan tinggi yang berkemungkinan mengakibatkan lebih banyak kejadian banjir kilat.
KUALA LUMPUR:
Teresa Kok (PH-Seputeh) menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim supaya mengkaji semula cadangan projek perumahan berkepadatan tinggi di Kuala Lumpur susulan kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku di ibu negara kebelakangan ini.

Pemimpin DAP itu mendakwa projek berdensiti tinggi dikhuatiri akan menyumbang kepada lebih banyak kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur memandangkan sistem perparitan di ibu negara, termasuk di pusat bandar tidak pernah dibesarkan selama ini.

“Dalam mesyuarat Menteri Wilayah Persekutuan bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur bulan lepas, saya terdengar YB Arau kata DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) akan meluluskan rumah mampu milik pencakar langit di Kuala Lumpur.

“Saya memang bimbang bila dengar ini, saya mahu beliau kaji semula kesemua cadangan berdensiti tinggi seperti ini,” katanya di Dewan Rakyat.

“Dalam era perubahan iklim, ‘volume’ hujan akan lebih tinggi berbanding sebelum ini. Semua projek berdensiti tinggi ini akan menyumbang kepada lebih banyak banjir kilat di Kuala Lumpur kerana sistem perparitan termasuk di pusat bandar tidak dibesarkan selama ini,” tambahnya.

Beliau turut mengambil perhatian mengenai kejadian banjir kilat yang berlaku di ibu negara petang semalam, khususnya di kawasan Parlimen Seputeh yang turut dinaiki air.

Kok mendakwa air banjir di kawasan berkenaan seharusnya melalui Terowong SMART, tetapi ia tidak berlaku semalam.

“Banjir yang berlaku semalam, banyak di kawasan saya, sepatutnya air banjir melalui ‘SMART tunnel’ tetapi saya lihat semalam ia tidak berfungsi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta penjelasan daripada Shahidan mengenai projek RUMAWIP berdensiti tinggi yang dibina di sempadan antara Kuala Lumpur dan Selangor, iaitu di Bukit Jalil yang diluluskan tanpa pengetahuan beliau sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

“Projek RUMAWIP ini ada dua blok, Blok A 38 tingkat dan Blok B 39 tingkat. Satu unit hanya diberikan satu tapak parkir sahaja dan projek perumahan begitu tinggi tentunya menyumbang kepada kesesakan trafik di kawasan Bukit Jalil dan DUN Kinrara di Selangor.

“Bukit Jalil terletak di Parlimen Seputeh tetapi saya langsung tak tahu ada projek RUMAWIP ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.