Hari ke-2 banjir kilat landa KL

Hari ke-2 banjir kilat landa KL

Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, berkata kawasan seperti Jalan Pudu, Jalan Cheras dan Jalan Yaacob, dilanda banjir kilat, hari ini.

Sebahagian Jalan Cheras dan Jalan Yaacob ditenggelami air paras lutut.
PETALING JAYA:
Hujan lebat mengakibatkan beberapa jalan di Bandaraya Kuala Lumpur ditenggelami air untuk hari kedua berturut-turut, kata Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam ciapan di Twitter, agensi itu melaporkan Jalan Cheras dan Jalan Yaacob ditenggelami air paras lutut, manakala air berada di paras kaki di Jalan Pudu.

Di Hulu Langat, Selangor, difahamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah menggerakkan bot penyelamat ke Batu 14 kerana kawasan berkenaan dilanda banjir kilat.

Pada 4.15 petang hari ini, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir dijangka melanda Kuala Lumpur, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak.

Hujan diramal berlaku sehingga 8 malam ini.

Semalam, beberapa kawasan di Kuala Lumpur teruk dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pada sebelah petang.

Kawasan terjejas termasuk Jalan Kuchai Lama, Jalan Air Keroh-Air Panas di Setapak, Leboh Ampang, Taman Salak Selatan, Taman U-Thant di Jalan Ampang, Taman Sri Petaling, Taska Roskani Jabatan Kerja Raya di Jalan Cheras dan Kampung Periok di Kampung Baru.

Jabatan Meteorologi juga meramalkan cuaca buruk dijangka berterusan sehingga 13 Mac disertai ribut petir di beberapa kawasan di bahagian barat Semenanjung, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.