Aktifkan semula PLKN, gesa Ahli Parlimen pembangkang

Aktifkan semula PLKN, gesa Ahli Parlimen pembangkang

Ketua PH Kedah itu berkata, banyak negara termasuk Singapura terus mengekalkan program itu bagi membentuk disiplin, kesetiaan dan jati diri anak muda.

Johari Abdul mencadangkan rakyat diberi latihan ketenteraan bagi mempersiapkan negara menghadapi sebarang ancaman daripada kuasa asing. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang ditamatkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan diaktifkan semula.

Johari Abdul (PH-Sungai Petani) berkata, banyak negara termasuk Singapura terus mengekalkan program berkenaan bagi membentuk disiplin, kesetiaan dan jati diri anak muda.

“Sekiranya PLKN ini diteruskan, maka kita mesti pastikan program yang kita masukkan ini akan memastikan rakyat kita, khususnya mereka berumur 18 tahun ke atas bukan saja terlatih dari segi jati diri, tetapi lebih penting dalam alam ketenteraan.

“Ini kerana, sekiranya mereka diperlukan untuk bangun mempertahankan negara, mereka bersedia,” katanya ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Johari turut mencadangkan rakyat diberi latihan ketenteraan bagi mempersiapkan negara menghadapi sebarang ancaman daripada kuasa asing.

Ketua PH Kedah itu turut membangkitkan sejauh mana Malaysia bersedia jika berlaku sebarang serangan, dengan merujuk konflik di Ukraine yang kini diserang kuasa besar, Rusia.

“Saya ingin cadangkan supaya kerajaan melihat kembali apakah persediaan kita sendiri sebagai sebuah negara merdeka…kita tidak boleh bergantung harap kepada anggota tentera yang aktif.

“Kita cuma ada 110,000 anggota tentera yang aktif dengan 51,600 anggota simpanan. Selayaknya, sebagai sebuah negara berdaulat harus mempersiapkan diri kita.

“Sebab itu saya cadangkan mereka berumur 18 tahun hingga 49 tahun, ada 15 juta orang, yang kalau diberikan latihan, mereka ini boleh mempertahankan negara kita, sekiranya ada (kuasa asing) yang cuba memperkotak katikkan kita,” katanya.

Minggu lalu, Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo memberitahu Bernama TV, kira-kira 100,000 rakyat Ukraine pulang ke negara itu untuk mempertahankan kedaulatan negara mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.