
Ahli Parlimen Umno itu, yang juga Penasihat Khas (Undang-undang dan Hak Asasi Manusia) kepada Perdana Menteri berkata, keahlian dalam UNHRC akan menjadi sia-sia sekiranya Dewan Rakyat tidak membahaskan laporan SUHAKAM.
“Tak gunanya kita berada dalam Majlis Hak Asasi Manusia kalau laporan SUHAKAM nak bahas pun punyalah susah.
“Saya berharap kalau MoU 2.0 (memorandum persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan) ini kalaulah wujud, kita fokus laporan SUHAKAM ini dibahas tiap-tiap tahun dalam isu hak asasi.
“Tak guna kalau kita di mata dunia seolah-olah kita melindungi hak asasi, tapi hak asasi rakyat kita…kita lupa nak sebut dan juga nak lindung,” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, hari ini.
Tahun lepas, SUHAKAM berkata, laporan tahunannya penting untuk dibahas di Dewan Rakyat kerana ia mengetengahkan pelbagai isu mendesak yang memerlukan “tindakan segera” oleh kerajaan.
Dalam kenyataan pada 1 Dis, SUHAKAM juga berkata, laporan tahunannya mengandungi cadangan mengenai hak komuniti yang terdedah, termasuk komuniti Orang Asli, wanita dan kanak-kanak, mangsa pemerdagangan manusia, pelarian dan pencari suaka serta pekerja.
Malaysia dipilih menganggotai UNHRC untuk penggal 2022-2024 semasa sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-16 di New York pada 14 Okt tahun lepas.
Malaysia menerima majoriti besar 183 undi.