Persaingan sihat di kerusi ‘panas’ Larkin, kata calon MUDA

Persaingan sihat di kerusi ‘panas’ Larkin, kata calon MUDA

Calon MUDA Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin Rasid Abu Bakar berkata kempen minggu lalu hanyalah persaingan sihat dan bersih

Rasid Abu Bakar berkata, fokusnya adalah untuk membina platform peningkatan kemahiran diri untuk belia dalam pembangunan perisian dan rekaan grafik. (Gambar Muda)
JOHOR BAHRU:
Calon MUDA bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin Rasid Abu Bakar menyifatkan pertembungan enam penjuru di kerusi itu termasuk dengan calon PKR Dr Zamil Najwah sebagai satu persaingan sihat setakat ini.

Rasid berkata, terdapat “isu yang minimum” dalam kempen oleh calon bertanding termasuk Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan calon Bebas Norramadan Buan.

Calon berusia 28 tahun itu menyifatkan aktiviti kempen minggu lalu hanyalah “persaingan secara sihat dan bersih”, selain menambah bahawa ia penting dalam memupuk demokrasi yang berkembang di Malaysia.

Katanya, konfrontasi antara parti di Larkin hanyalah melibatkan perang bendera.

“Ia bukan perkara besar. Ia berlaku dalam setiap pilihan raya,” katanya kepada FMT.

Pertembungan antara MUDA dan PKR menjadi topik hangat dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor ini dan Rasid menegaskan bahawa partinya telah mencuba yang terbaik untuk mengelakkan pertembungan dengan komponen Pakatan Harapan (PH) tetapi mengakui pertembungan di Larkin tidak dapat dielakkan.

“Keputusan mengenai pemilihan kerusi dibuat berdasarkan calon. Kita memadankan calon dengan kerusi yang sesuai dengan profil dan perwatakan mereka.

“Sebagai contoh, saya lahir dan membesar di Larkin dan sebab itu MUDA percaya saya sesuai bertanding di kerusi ini,” katanya.

Sebagai salah seorang calon muda dalam PRN Johor, Rasid berkata, fokusnya untuk Larkin antara lain adalah untuk membina platform peningkatan kemahiran diri kepada belia dalam pembangunan perisian dan rekaan grafik.

“Saya ingin menunjukkan kepada belia bahawa ekonomi gig adalah lebih daripada sekadar bekerja sebagai penghantar makanan. Saya percaya peningkatan kemahiran diri penting untuk pertumbuhan ekonomi di Larkin.”

Rasid bertanding merebut kerusi itu dengan calon PKR, Zamil, Md Hairi Md Shah (BN), Zulkifli Bujang (PN), Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang) dan Norramadan.

Menurut data Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), lebih 60% pengundi di Larkin adalah orang Melayu pada 2018.

Izhar Ahmad daripada Bersatu memenangi kerusi itu atas tiket PH dengan mendapat 25,012 undi dan memperoleh majoriti 8,590 pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berbanding pesaing terdekat daripada BN, Yahya Ja’afar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.