Najib diminta perjelas kenyataan berkait 1MDB dikata kelirukan Dewan Rakyat

Najib diminta perjelas kenyataan berkait 1MDB dikata kelirukan Dewan Rakyat

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun bagaimanapun tidak pasti Najib Razak dapat memberikan penjelasan pada Rabu ini.

Ucapan Najib Razak di Dewan Rakyat pada 2 Mac dikatakan mengandungi kenyataan mengelirukan berkaitan isu hutang 1MDB. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas Perdana Menteri Najib Razak diminta memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat Rabu ini berhubung kenyataannya ketika perbahasan minggu lalu yang dikatakan mengelirukan dewan.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, berkata beliau telah menulis surat kepada Najib bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu dan meminta bekas Perdana Menteri itu memberi kenyataan.

“Saya telah menulis kepada YB (Yang Berhormat) Pekan untuk minta penjelasan, serta YB Menteri Kewangan tentang apa yang beliau katakan tempoh hari dan saya sedang menunggu jawapan.

“Saya meminta beliau (Najib) beri penjelasan hari Rabu ini, tapi saya tak tahulah beliau dapat (atau tidak) beri penjelasan hari itu, saya tidak tahu,” katanya.

Azhar berkata demikian bagi menjawab pertanyaan RSN Rayer (DAP-Jelutong) yang bangun pada sesi perbahasan Titah Diraja persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini, untuk meminta maklum balas mengenai usul Tony Pua (PH-Damansara) yang mahu Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pua menghantar usul itu berikutan ucapan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan di Dewan Rakyat pada 2 Mac dikatakan mengandungi kenyataan yang mengelirukan dewan berkaitan isu hutang 1MDB dan boleh disifatkan sebagai menghina majlis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.