
Beliau menerusi Twitter berkata, enam kawasan di Kuala Lumpur terjejas dengan banjir kilat itu, tetapi tidak menamakan lokasi terbabit.
“Elak melalui kawasan banjir kilat dan berhati-hati memandu sewaktu hujan,” katanya kepada pengguna jalan raya.
Ismail turut memuat naik gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menjalankan kerja menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat akibat hujan lebat sejak petang tadi.

Berdasarkan gambar dan video yang dikongsi warganet di media sosial, beberapa kawasan di Kuala Lumpur dilihat terjejas teruk akibat banjir kilat itu, termasuk Jalan Kia Peng, Jalan Kuchai Lama, Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Masjid Jamek, Jalan Tun Razak dan Jalan Tun HS Lee.
Pada 4 petang tadi, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir di Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah yang dijangka berterusan sehingga 7 malam ini.
Jabatan itu turut meramalkan hujan dan ribut petir di beberapa kawasan di barat Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sehingga 13 Mac ini.

Sementara itu, JBPM mengesahkan lapan kawasan di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat, iaitu Jalan Kuchai Lama, Jalan Air Keroh-Air Panas di Setapak, Jalan Lebuh Ampang, Taman Salak Selatan, Taman U-Thant di Jalan Ampang, Taman Sri Petaling, Taska Roskani Jabatan Kerja Raya di Jalan Cheras and Kampung Periok di Kampung Baru.
Di Jalan Kuchai Lama, katanya, dianggarkan 12 kereta terperangkap dalam banjir kilat yang mencecah ketinggian sehingga 2 meter.
“Ada mangsa yang berdiri di atas bumbung kenderaan dan telah diselamatkan anggota bomba di tempat kejadian. Keadaan terkawal,” katanya dalam kenyataan.
Di Jalan Cheras, JBPM berkata, banjir kilat menyebabkan tebing tanah runtuh di Taska Roskani, tetapi keadaan kini terkawal dan pihaknya sedang memantau keadaan itu, dengan 40 murid dan guru telah dipindahkan.
Katanya, Jalan Raja Bot dan Kampung Periok di Kampung Bharu turut dinaiki air setinggi 3 meter, tetapi keadaan kini terkawal.
Jabatan itu berkata, keadaan di kawasan lain juga stabil.