
Jurucakap kumpulan itu, Marryam Salsabila mendakwa mereka digagalkan kerana tidak melengkapkan dokumen seperti surat Senat, transkrip atau surat tamat belajar, sedangkan kenyataan Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin tahun lalu memaklumkan pelajar tahun akhir boleh memohon tawaran jawatan berkenaan.
“(Selepas temu duga) pihak badan pelantikan (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) tidak menggagalkan calon, malah memberi calon tempoh untuk menghantar dokumen sebelum 15 Dis.
“Pihak pegawai badan pelantikan juga memaklumkan bahawa jika tiada dokumen yang diminta, calon boleh menggunakan surat sokongan daripada pihak universiti dan jika gagal kemukakan dokumen berkenaan sebelum 15 Dis, calon akan digagalkan,” katanya selepas menyerahkan memorandum tuntutan graduan ikhtisas pendidikan di KPM di sini.
Bagaimanapun, beliau mendakwa SPP membatalkan hampir semua pelantikan kepada calon yang perlu mengemukakan dokumen kerana tidak mempunyai surat senat, transkrip dan surat tamat belajar.
“Lebih 100 calon yang digagalkan hanya disebabkan berstatus graduan tahun akhir dan tidak dapat melengkapkan dokumen menuntut hak mereka dalam pelantikan kerana mereka sudah pun lulus pada sesi temu duga.
“Mereka perlu diberi peluang dalam pelantikan semula kerana mereka tetap akan mendapat surat senat, transkrip dan surat tamat belajar daripada pihak universiti,” katanya.
Penuhi kuota
Dalam pada itu, beliau turut menuntut KPM memenuhi kuota sejumlah 18,702 pengambilan khas guru gred DG41 secara “one-off” dalam kalangan graduan ikhtisas pendidikan sahaja bagi mengatasi lambakan graduan pendidikan ketika ini.
“Daripada 18,702 pengambilan dibuka, mengapa hanya 8,000 guru ikhtisas pendidikan sahaja dilantik.
“Graduan ikhtisas pendidikan masih ramai yang tidak dapat penempatan di sekolah KPM tetapi kekosongan dibuka kepada graduan bidang lain.
“Adakah ia adil dan mampu menyelesaikan isu lambakan graduan pendidikan di pasaran ketika ini?,” soalnya.
Pada 20 Jun, KPM mengumumkan akan mengambil 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara “one off” untuk mengatasi isu kekurangan guru di negara ini khususnya membabitkan negeri dan mata pelajaran tertentu.
Pada 15 Feb, Radzi dalam hantaran di Facebook memaklumkan seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara “one-off” berjaya dalam temu duga Fasa 2 dan 3 dan boleh mula membuat semakan penempatan mereka.
Beliau memaklumkan, semua yang berjaya akan mula melapor diri di sekolah masing-masing bermula 1 Mac ini.
Katanya, pengambilan khas guru gred DG41 secara “one-off” itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 18,702 kekosongan yang diumumkan pada 20 Jun tahun lepas.
“KPM akan terus bekerjasama rapat dengan SPP selaku pihak berkuasa yang melantik untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru “one off” dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, kumpulan berkenaan turut menuntut KPM memberi peluang kepada graduan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) untuk ditempatkan di sekolah rendah KPM memandangkan hanya 12 daripada lebih 1,000 calon lulus dalam sesi temu duga berkenaan.
“Graduan PAKK memiliki minor pengajian. Jadi tiada salahnya jika mereka ini ditempatkan di mana-mana sekolah.
“Salah satu pilihan kritikal yang diuar-uarkan adalah Pendidikan Khas dan graduan ini mampu membantu jika ditempatkan di sekolah berkeperluan khas,” katanya.