Kementerian, DBKL cari penyelesaian tangani banjir kilat ibu negara

Kementerian, DBKL cari penyelesaian tangani banjir kilat ibu negara

Kementerian Wilayah Persekutuan memandang serius isu itu yang menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam.

Banjir kilat juga mengakibatkan penutupan sementara laluan di Terowong SMART melibatkan laluan masuk dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di ibu kota hari ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias, berkata kementerian itu memandang serius isu berkenaan yang menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam hingga ada kenderaan ditenggelami air.

“Walaupun ia berlaku dalam keadaan yang cukup pantas, pada saya ia bukan alasan untuk menyalahkan mana-mana pihak. Justeru, kita akan melakukan perbincangan lanjut bersama DBKL bagi mencari penyelesaian terbaik bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

“Pada masa sama, saya akan menjawab berkaitan isu ini di Dewan Rakyat dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan banjir kilat itu menyebabkan beberapa laluan terjejas antaranya di Besraya Expressway melibatkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan dari Kampung Malaysia ke Kuchai.

Banjir kilat juga mengakibatkan penutupan sementara laluan di Terowong SMART melibatkan laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras.

Selain itu, puluhan kenderaan yang diletakkan di parkir terbuka sekitar ibu negara turut ditenggelami banjir kilat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.