
Dalam insiden yang dikesan pada 7 Mac 2019 itu, penduduk yang tinggal berhampiran sungai berkenaan, termasuk puluhan pelajar dan pengusaha kantin sekolah di kawasan itu mengalami sesak nafas, loya, pening, pitam dan muntah-muntah.
Kira-kira 2,775 penduduk terutamanya melibatkan pelajar dimasukkan ke hospital sehingga 110 sekolah di kawasan Pasir Gudang diarah tutup sementara.
Sungai sepanjang 1.5km yang dicemari sisa kimia berbahaya itu terpaksa dibersihkan dengan sejumlah 1,500 tan air sungai dan 900 tan enap cemar serta sisa kimia berbahaya berjaya dilupuskan dari sungai berkenaan.

Beberapa penduduk yang ditemui FMT baru-baru ini mengakui kejadian itu masih lagi menghantui mereka dan perasaan trauma masih kekal sehingga sekarang.
Ahmad Ali, 58, masih tidak lupa bagaimana dia dan isterinya tersedar daripada tidur seawal jam 2 pagi selepas terhidu bau yang kuat menyebabkan mereka keluar dari rumah yang terletak di Kampung Bukit Pulai untuk mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku.
Katanya, keadaan tidak selesa itu menyebabkan ramai penduduk kampung keluar rumah dan panik sehingga ada yang membuat laporan polis walaupun hari masih gelap.
Sungai menjadi hitam, berminyak
Ahmad berkata, selepas terbit matahari pada awal pagi kejadian dia bersama penduduk kampung mendapati keadaan air Sungai Kim Kim yang terletak kira-kira beberapa meter dari kawasan petempatan penduduk bertukar menjadi hitam.
“Ramai penduduk mengalami sesak nafas dan tidak boleh tidur pada malam kejadian sehingga semua keluar rumah dan masing-masing bertanya satu sama lain apakah yang berlaku. Apabila keadaan cerah baharu kami dapat tahu bau itu datang dari sungai dan melihat keadaan warna air bertukar hitam, pekat bercampur dengan minyak,” katanya.
Beliau juga mendakwa sisa toksik dibuang ke Sungai Kim Kim hanya beberapa ratus meter dari rumah mereka di Kampung Bukit Pulai.

Pengalaman sama turut diceritakan Asmah Kamaruddin, 60, yang berkata, ketika kejadian siren ambulans tidak berhenti kedengaran di sekitar kawasan kediamannya di Taman Tanjung Puteri Resort sehingga sekolah berhampiran petempatan mereka terpaksa ditutup.
Bercakap kepada FMT, semasa kejadian dia mengakui bimbang memikirkan diri dan suami kerana keadaan mereka sudah berusia. Walaupun tiada rakan baik dan keluarga yang sakit akibat pencemaran itu, namun menerusi kumpulan WhatsApp beliau mengetahui beberapa kejadian anak jiran yang sakit.
“Kenalan rapat saya tak ada yang jatuh sakit waktu itu, tapi dalam ‘group WhatsApp’ kita tahu anak orang itu ini (jiran-jiran) sakit, ada yang sesak nafas malah ibu bapa jiran-jiran saya turut mengalami serangan asma sehingga keluar masuk hospital.
Asmah bagaimanapun berkata, beliau tidak pasti sejauh mana usaha pihak berkuasa bertindak dalam membendung isu pencemaran tersebut sambil menyifatkan kejadian itu tidak akan berlaku sekiranya langkah sewajar dilaksanakan.

Kejadian amat menakutkan, kata ibu bapa

Puvendran, 33, turut menceritakan bahawa beberapa jirannya sekitar Taman Bukit Dahlia mengalami masalah kesihatan dan dimasukkan ke hospital selain mengakui kejadian pencemaran itu adalah sesuatu yang “menakutkan”.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, semasa kejadian dia dan keluarganya tidak keluar rumah sementara waktu dan bersedia untuk berpindah jika keadaan semakin teruk.
Katanya, walaupun beberapa rakannya yang jatuh sakit sebelum ini kini kembali sihat, keadaan dirinya masih trauma.
“Mereka masih mempunyai fobia bahawa ia mungkin berlaku lagi. Pihak berkuasa kita perlu memantau dan mengawal sebarang aktiviti pembuangan sisa haram ke dalam sungai. Jika tiada pemantauan perkara ini boleh berlaku lagi.
Penduduk ambil tindakan

Nurul Athirah Mazumi, 27 juga mengakui semasa kejadian beliau bimbang apabila ratusan pelajar sakit kerana mereka mempunyai sistem imun lemah apabila seorang demi seorang kanak-kanak di kawasan petempatannya dimasukkan ke hospital.
Tinjauan FMT baru-baru ini ke Sungai Kim Kim mendapati keadaanya semakin pulih walaupun airnya belum jernih sepenuhnya.
Ahmad yang turut menyertai tinjauan kami berkata, keadaan air di sungai berkenaan kadang kala bertukar keruh terutamanya ketika hujan dengan mendakwa ia datang daripada loji kumbahan.
Katanya, dia dan penduduk kampung sering memantau sungai tersebut dan segera membuat aduan dengan merakam video keadaan dengan telefon jika mendapati keadaan mencurigakan untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Masih trauma, bimbang berulang

Isterinya, Noorma Noor, 55, berkata, penduduk Kampung Bukit Pulai juga masih belum berasa selamat walaupun selepas 3 tahun tragedi itu selagi kilang di kawasan itu terus beroperasi di sekitar Pasir Gudang.
“Pihak berkuasa perlu pantau betul-betul setiap kilang supaya tidak melupus sisa tidak berjadual dengan baik. Saya harap kejadian tiga tahun lalu tidak lagi berulang biarlah ia yang pertama dan terakhir,” katanya.
Ahmad turut memaklumkan keadaan sungai tersebut juga bertambah baik dan kerajaan negeri telah mengambil inisiatif dengan membersihkan sungai.
“Tapi kami masih lagi takut, fobia itu tentu ada,” katanya.