
Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim menggunakan nama Rajinikanth sejak pilihan raya umum (PRU) 2013 dengan menggelar dirinya dengan nama pelakon menerima bayaran tertinggi di India itu.
Manakala, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik baharu sahaja memuat naik video di TikTok dengan meniru gaya pelakon itu.
Azeez memberitahu masyarakat India di Johor Bahru beberapa hari lalu bahawa dia bermula sebagai Basha, watak yang dimainkan oleh Rajinikanth sebagai hero yang memerangi penjahat. Filem itu ditayangkan pada 1995 tetapi masih popular.
“Hari ini, saya datang ke sini sebagai Annaatthe (filem hit terbaru Rajinikanth) untuk menyelamatkan komuniti. Saya bercakap dalam bahasa ibunda saya. Yang membezakan (antara kita) hanyalah agama kita.
“Jika Barisan Nasional menang, saya akan kembali untuk membantu,” katanya dalam bahasa Tamil kepada sekumpulan orang ramai yang bersorak.
Pada pilihan raya lalu, Azeez memberitahu satu perhimpunan yang dihadiri pengundi India bahawa beliau dikenali sebagai Padayappa, iaitu satu lagi ikon filem Tamil.
Maszlee, dalam klip videonya, dilihat bertutur dalam bahasa Tamil dan meminta orang ramai mengundinya sambil mengakhiri klip itu dengan gaya memakai kaca mata ala Rajinikanth selain meniru “trademark” jari pelakon itu.
Ketika dihubungi, Azeez sempat berseloroh bahawa dia adalah “yang asli” manakala Maszlee hanya “meniru”.
“Saya percaya dengan Rajinikanth kerana semua filemnya berkisar mengenai kekeluargaan dan berbakti serta berjuang untuk mereka yang tertindas.
Dia juga menggambarkan watak yang menjunjung tinggi rasa syukur dan menghargai ikatan persahabatan.
“Saya sangat percaya dengan semua sifat ini. Dia menjalani kehidupan dengan penuh sederhana di Chennai walaupun menjadi bintang filem yang kaya.
“Saya bertemunya lima tahun lalu ketika berat saya 90kg. Selepas mengikuti nasihatnya, berat saya kini turun kepada 72kg,” katanya kepada FMT.