
Katanya, masyarakat Melayu dan orang Islam khususnya, berasa senang hati apabila melihat pemimpin bermuafakat sesama mereka serta bersederhana dalam politik.
“Ramai suka dengan MN ini, itu jangan kita nafikan…bila tengok pemimpin bersederhana, bermuafakat jadi di bawah itu (penyokong) lebih ramai.
“Kalau kita melampau-lampau, nanti orang benci sebab itu hati rakyat kita kena baca,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Komuniti Keluarga Malaysia Zon Utara Johor di sini hari ini.
Annuar ditanya mengenai kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dua hari lalu yang mengatakan bahawa kerjasama politik antara parti itu dan PAS “biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi”.
Sehubungan itu, bekas Setiausaha Agung MN itu berkata, beliau mengambil sikap terbuka dengan menunggu keputusan rasmi daripada Umno, selain menghormati pandangan diberikan oleh individu mengenai status gagasan itu.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, sebanyak 1,674 Komuniti Keluarga Malaysia ditubuhkan hingga 17 Feb lalu.
Beliau berkata, sebanyak 168 Komuniti Keluarga Malaysia ditubuhkan di Johor, melibatkan semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
“Kerajaan amat berharap melalui penubuhan Komuniti Keluarga Malaysia, dapat memperkasa keupayaan serta daya saing komuniti setempat dalam bidang sosio-ekonomi sejajar dengan perkembangan ekonomi digital,” katanya.