
Penduduk tempatan yang ditemui FMT berkata, mereka kecewa dengan ahli politik, sama ada daripada parti kerajaan atau pembangkang. Ada yang berkata, mereka tidak akan mengundi kali ini, manakala yang lain tidak pasti tentang pilihan mereka.
Seorang pengusaha restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Salam berkata, perniagaan terjejas teruk akibat wabak Covid-19 dan banjir baru-baru ini. Beliau mendakwa ahli politik tempatan tidak mempedulikan kesusahan mereka.
“Saya tak puas hati dengan ahli politik kedua-dua pihak. Mereka terlalu sibuk berpolitik sehingga mengabaikan tanggungjawab utama mereka, iaitu berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Tiada perubahan selepas menang
Salam adalah antara segelintir penduduk yang tidak akan mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
“Apa gunanya mengundi jika semuanya masih sama? Semua orang janjikan perubahan, tetapi bila pegang kuasa, tiada apa berlaku,” katanya kepada FMT.
Penduduk Skudai, Mohamad Isa pula mengkritik tempoh masa PRN dengan berkata, dana sepatutnya disalurkan untuk membantu rakyat yang terjejas akibat wabak.
“Dengan kos sara hidup meningkat, menampung kehidupan menjadi semakin sukar hari ini,” keluhnya.
Berbeza dengan Salam, Isa berkata, beliau tidak pasti siapa yang akan diundinya, sambil menambah, ini bukan kerana calon yang bertanding.
“Saya ragui mana-mana antara mereka dapat bawa perubahan yang diinginkan rakyat,” katanya.
Seorang lagi penduduk Skudai, yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berharap ADUN seterusnya tidak mengabaikan isu yang menjadi keprihatinan rakyat.
“Sesiapa pun (menang), tolong jangan buat janji kosong lagi,” katanya.
Muka baharu DAP lawan bekas ADUN
Pengundi Skudai perlu memilih antara muka baharu DAP Marina Ibrahim yang berharap untuk mengekalkan kerusi Pakatan Harapan (PH), bekas ADUN Skudai dari 1999 hingga 2004 Khoo Kong Ek daripada Perikatan Nasional (PN), dan Lim Soon Hai daripada Barisan Nasional (BN).
Skudai diwakili ahli politik berbangsa Cina sejak 1995. Gerakan, ketika itu komponen BN, memegang kerusi itu sehingga 2008, apabila tewas kepada DAP, yang mengekalkan kerusi itu selama tiga penggal.
Bagaimanapun, dalam tempoh tiga penggal itu, Skudai diwakili dua ADUN berbeza – Dr Boo Cheng Hau berkhidmat selama dua penggal sebelum digantikan oleh Tan Hong Pin pada 2018.
Boo bertanding dan kalah pada 1999 dan 2004, sebelum merampas kerusi itu daripada Gerakan pada 2008.
Keputusan untuk mencalonkan Tan berbanding Boo pada 2018 mencetuskan sedikit kontroversi, dengan timbul ura-ura Boo akan bertanding sebagai calon bebas, namun ternyata tidak benar.
Pada PRN yang akan datang, timbul ketegangan serupa mengenai pencalonan Marina berbanding Tan, namun ia dilaporkan reda selepas dipersetujui bahawa Tan akan dibenarkan bertanding untuk kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Skudai ‘kerusi panas’
Menurut James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania, keputusan menggugurkan Boo sebagai calon pada 2018 menjadikan Skudai sebagai “kerusi panas” pada masa itu. Ia sekali lagi menarik perhatian apabila Tan tidak dicalonkan.
Walaupun dengan sentimen pengundi yang ditemui FMT, Chin berkata, DAP mempunyai kelebihan berbanding BN dan PN untuk memenangi kerusi itu, walaupun ia masih bergantung pada bagaimana kempen berjalan.
“Apa sahaja boleh berlaku sepanjang minggu depan (tempoh kempen). Namun DAP mempunyai kelebihan di kerusi ini, yang sangat penting bagi DAP,” katanya.
Sementara itu, sumber DAP berkata, beliau sedar mengenai sikap acuh tak acuh dan kekecewaan pengundi terhadap pemimpin kerajaan dan pembangkang, manakala pertembungan banyak penjuru hanya membuatkan rakyat semakin bosan dengan politik.
Namun, beliau percaya parti itu masih bertapak kukuh di Skudai dan memberitahu FMT, “hampir mustahil untuk kalah” di kerusi itu.