
Pengerusinya, Muhyiddin Yassin, berkata kedua-dua parti terbabit tidak mempunyai peluang yang baik untuk memenangi kerusi, apatah lagi membentuk kerajaan.
“Peluang bagi kedua-dua parti berkenaan memenangi kerusi yang besar, sekali gus membentuk kerajaan sememangnya agak susah.
“Terutamanya bagi MUDA yang hanya bertanding enam kerusi dan perlu bergantung kepada parti lain. Jika mereka menang pun, mereka tetap akan menjadi pembangkang.
“Nilai satu undi itu amatlah besar ertinya. Kita berharap pengundi di Johor tidak memilih parti baharu sebagai wakil mereka, memilih parti yang akan menjadi pembangkang sahaja di Johor.
“Lawan kita di Johor ini sebenarnya hanyalah dua parti gabungan sahaja iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya menurut laporan Berita Harian.
Mengulas berkenaan Pejuang, Muhyiddin berkata, walaupun bertanding dengan kerusi yang agak banyak untuk PRN Johor, parti itu tetap sebuah parti yang baharu.
Katanya, Pejuang masih belum mempunyai rekod yang baik dalam pentadbiran dan pengundi seharusnya memilih parti mempunyai rekod baik seperti PN.
“PN ketika menjadi kerajaan, berhadapan dengan dua krisis iaitu krisis ekonomi dan juga krisis kesihatan Covid-19. Kita mempunyai rekod yang baik dalam mengatasinya.
“Atas sebab itu, pengundi seharusnya dapat berfikir untuk memilih parti yang mana untuk menjadi kerajaan di negeri Johor ini, yang sudah dibuktikan kejayaannya,” katanya.
Bagi BN dan PH pula, Muhyiddin berkata, kedua-duanya mempunyai masalah dalaman tersendiri, termasuk berhadapan kes mahkamah serta kegagalan ketika mereka menjadi kerajaan selama 22 bulan sebelum ini.
“Namun, kedua-dua parti ini mempunyai penyokong tegar tersendiri dan kita perlu mendepaninya,” katanya.