
Muhyiddin berkata, walaupun tawaran itu nampak kecil, ia memberi makna besar buat rakyat Johor untuk memulihkan kembali ekonomi keluarga selepas terkesan akibat penularan Covid-19.
“Dalam manifesto, kita mengecualikan bayaran lesen untuk semua bentuk perniagaan di Johor melibatkan ratusan ribu peniaga. Ini bukan zaman senang, mereka perlu diberikan kemudahan… kalau nak berniaga di mana-mana jangan dihalang, ini salah satu tawaran kecil PN kepada rakyat Johor.
“Tetapi ada bekas pemimpin Umno, bekas Menteri Besar meremehkan soal itu, tak ada rasa sensitif tentang nasib malang bangsa Johor yang tak boleh hidup kerana tak ada perniagaan, tak ada pendapatan,” katanya pada sesi dialog bersama MPN di Johor Bahru hari ini.
Majlis itu turut dihadiri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, sebanyak 20 meter padu air percuma ditawarkan kepada kumpulan terkesan melalui manifesto PN pada PRN Johor.
Sebelum ini Naib Presiden Umno Khaled Nordin yang juga bekas Menteri Besar Johor, meminta Muhyiddin menjelaskan punca tarif air tinggi di Johor yang dikatakan tertinggi dalam negara, bukan sekadar menawarkan air percuma sebagai janji pilihan raya.
Khaled berkata, pemberian air percuma sudah lama dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
“PN seperti tidak ada modal lain untuk ditawarkan kepada rakyat,” kata Khaled.
Sementara itu, Muhyiddin turut menggesa sempadan negara dibuka secepat mungkin dan beliau dimaklumkan laporan daripada MPN yang dipengerusikannya berhubung cadangan itu telah dibentang di Kabinet.
“Rakan-rakan dalam Kabinet kata ,ia (cadangan bukan sempadan) telah bincang, laporan daripada MPN telah dibentang saranan saya kalau boleh buka 1 Januari, tapi nampak tak boleh lagi, saya
sebut 1 Mac belum lagi, saya tak tahu bila tapi menteri yang hadir ini pastinya mereka tahu supaya segerakan dibuka.
“Ia penting misalnya, kita yang berada di Johor Selatan ini supaya cepat dibuka sempadan kerana hampir 300 rakyat Johor berulang alik ke Singapura bekerja.
“Saya tak tahu apa nasib mereka, masih ada di sini terlantar tak ada kerja atau sudah jadi gelandangan nauzubillah, atau mereka sedang berdepan dengan cabaran besar untuk terus hidup dan nak pastikan makanan ada atas meja, ini isu yang perlu diberi perhatian,” katanya.