
Bekas peguam yang kini aktivis dan ahli perniagaan itu berkata, menjadi calon baharu bermakna beliau tiada sebarang isu bersejarah dalm politik atau kontroversi yang mungkin menjauhkan pengundi, sesuatu yang dipercayainya menjadi isu bagi parti lain.
Ridza berkata, ahli politik dalam gabungan lain sering berbalah antara satu sama lain dan ini hanya menjengkelkan rakyat.
“Sama ada kerajaan atau pembangkang, semuanya ada konflik tersendiri dan ia amat mengelirukan bagi rakyat. Selain itu, pengundi sudah bosan dengan politik lama,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, selepas lebih 60 tahun merdeka, politik perkauman tidak lagi relevan dengan kemajuan negara.
Selepas menjadi peguam selama 12 tahun, Ridza menceburi bidang perniagaan dan aktivisme sosial sebelum memulakan NGO Ehsan Johor yang memfokuskan usaha membantu golongan yang memerlukan di Pasir Gudang, khususnya di Permas.
Usahanya membantu orang ramai menarik perhatian kepadanya, justeru mendorong Warisan menawarkan platform untuk mengembangkan minatnya.
“Membantu orang adalah minat saya dan apabila Warisan tawar platform untuk berbuat demikian, saya kata, mengapa tidak?”
Warisan menampilkan enam calon pada PRN Johor. Calon-calon lain – yang juga muka baharu – adalah Hishamuddin Busri (Pekan Nanas), Sandara Segaran Arumugam (Bekok), Mohamed Noor Suleiman (Mahkota), Victor Chen (Johor Jaya), dan Lee Ming Wen (Bukit Batu).
Ridza akan bertanding dalam pertembungan lima penjuru di Permas menentang Syed Othman Abdullah (Pakatan Harapan), Baharuddin Md Taib (Barisan Nasional), Arifin Nasri (Perikatan Nasional) dan Mahaya Ahad (Pejuang).
Pada 2018, lebih 50% pengundi di Permas berbangsa Melayu, manakala pengundi Cina membentuk hampir 30%, menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya.
Jurang kekayaan menjadi isu utama di Permas, tegas Ridza, dengan segelintir penduduk hidup di bawah paras kemiskinan. Beliau berharap dapat menangani isu ini dan memperbaiki keadaan hidup golongan berpendapatan rendah.
“Perkara ini bukan mudah kerana saya perlu realistik, walaupun keenam-enam calon Warisan menang kerusi yang ditandingi, Warisan tetap berada dalam blok pembangkang.
“Bagaimanapun, Warisan tetap akan menyuarakan aspirasi rakyat, tidak kira di pihak mana kita berada,” katanya.
Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, calon PH daripada PKR menang di Permas (28,793 undi) dengan majoriti 8,746 berbanding pesaing terdekatnya daripada BN.