
Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Hannah Yeoh berkata, kejayaan MUDA pada hari mengundi 12 Mac nanti mampu melahirkan ADUN sulungnya. Ia juga menandakan kali keempat berturut-turut parti lain menang di kawasan itu.
“Pada 2004, Barisan Nasional (BN) menang kerusi itu kemudian PAS dan selepas itu, Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
“Saya yakin pengundi di sini berani mengikut corak pengundian. Saya yakin mereka memberi peluang kepada MUDA untuk menunjukkan parti itu mampu mewakili kawasan dengan sebaiknya,” katanya pada sidang media hari ini.
Yeoh berkata, Amira, 27, yang juga Setiausaha Agung MUDA, berdepan pertembungan sukar di kerusi ditandinginya kerana berhadapan saingan enam penjuru.
Calon lain turut bertanding ialah Ng Yew Aik (BN), Dr Khairil Anwar Razali (Pejuang), Loh Kah Yong (PN), Steven Choong (PBM) dan Adzrin Adam (Bebas).
“Amira sangat merendah diri dan secara terbuka mahu memperjuangkan isu berbilang kaum,” tambahnya.
Ditanya sama ada MUDA akan memainkan peranan bersama pihak berkuasa tempatan di negeri yang diperintah PH, beliau berkata, keputusan pilihan raya Johor akan menentukannya.
“Kita perlu melihat apa yang pengundi mahu dan siapa yang mereka pilih. Ini akan menentukan susun atur pada masa hadapan.
“Jika PH dan MUDA bekerjasama dan mendapat sokongan rakyat, saya percaya kepimpinan dalam gabungan itu akan berbincang dan melakar jalan ke hadapan,” katanya.