PRN Johor: Muhyiddin tarik lebih 1,000 penyokong ketika kempen di Batu Pahat

PRN Johor: Muhyiddin tarik lebih 1,000 penyokong ketika kempen di Batu Pahat

Ketika hujan mula reda, beberapa kumpulan penyokong dilihat mula tiba dengan bas dan mula membanjiri khemah yang disediakan.

Dianggarkan lebih 1,000 penyokong menghadiri kempen pilihan raya Perikatan Nasional di Batu Pahat, Johor.
BATU PAHAT:
Pejabat PAS kawasan Batu Pahat dibanjiri lebih 1,000 penyokong malam ini ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin meneruskan kempen gabungan itu sempena pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Walaupun program kempen berkenaan yang bertajuk “Santai bersama Muhyiddin Yassin” bermula tanpa kehadiran Presiden Bersatu itu ketika hujan lebat, ketibaannya kira-kira 15 minit kemudian mendapat tepukan gemuruh dengan laungan “Perikatan Nasional”.

Bersatu dan PAS adalah rakan kongsi gabungan itu, yang bertanding di semua 56 kerusi di DUN Johor. Saingan utamanya ialah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Acara dimulakan dengan persembahan silat, sebelum beberapa calon PN mengambil mikrofon bagi menyampaikan ucapan kepada orang ramai.

Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin tiba di pejabat PAS Batu Pahat

Meskipun acara terus berlangsung ketika hujan mula reda, beberapa kumpulan penyokong dilihat tiba dengan bas dan membanjiri khemah besar yang disediakan.

Barisan kerusi plastik diletakkan di luar manakala beberapa kumpulan penyokong berdiri di hadapan untuk melihat kelibat Muhyiddin dan merakam gambarnya.

Orang ramai kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Melayu walaupun terdapat sebilangan kecil penyokong Cina dengan ramai daripada mereka memakai pakaian PN.

Bekas Perdana Menteri itu turut disertai Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal and Ahli Parlimen Saratok Ali Biju.

Penyokong Perikatan Nasional membanjiri khemah besar yang disediakan di pejabat PAS Batu Pahat.

Bungkusan makanan disediakan untuk peserta dengan sebilangan besar daripada mereka adalah remaja di bawah 18 tahun.

Beberapa anggota polis juga kelihatan memantau acara itu selain pegawai dari Suruhanjaya Pilihan Raya.

Prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 secara amnya dipatuhi kecuali kurangnya penjarakan fizikal di tempat duduk yang disediakan, selain segelintir daripada mereka dilihat tidak memakai topeng muka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.