VTL P Pinang-Singapura bermula 16 Mac

VTL P Pinang-Singapura bermula 16 Mac

Penjualan tiket penerbangan udara VTL itu akan bermula dalam masa terdekat.

VTL Pulau Pinang-Singapura akan bermula dengan empat penerbangan sehari yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan di Malaysia dan Singapura.
PUTRAJAYA:
Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui udara antara Malaysia dan Singapura diperluaskan dengan membuka satu lagi laluan baharu, iaitu Pulau Pinang-Singapura bermula 16 Mac.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan bersama untuk memperluaskan inisiatif VTL itu.

“Inisiatif VTL ini akan membolehkan pengembara yang telah divaksin sepenuhnya melakukan perjalanan ulang alik bagi laluan Pulau Pinang-Singapura menggunakan syarikat penerbangan yang mengambil bahagian di bawah VTL tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan,” katanya.

Wee berkata, VTL Pulau Pinang-Singapura akan bermula dengan empat penerbangan sehari yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan di Malaysia dan Singapura.

“Penjualan tiket penerbangan udara VTL akan bermula dalam masa terdekat,” katanya.

VTL yang pertama bagi laluan Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 29 Nov 2021. Ia memberi perkhidmatan kepada 82,906 pengembara yang tiba dari Singapura setakat 28 Feb lalu.

Wee berkata, inisiatif VTL memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ketersambungan pengangkutan udara Malaysia-Singapura, di samping membantu memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan antara kedua-dua negara, terutamanya dalam sektor pelancongan yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Butiran lanjut mengenai syarat prapelepasan dan kemasukan ke Malaysia dan Singapura boleh didapati di laman web www.imi.gov.my dan https://safetravel.ica.gov.sg.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.