
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, Kabinet memutuskan untuk meluluskan peruntukan itu susulan banjir yang berlaku baru-baru ini.
Sebelum ini katanya, kerajaan sudah menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setahun untuk projek tebatan banjir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025).
Ismail berkata, kerajaan juga bersetuju meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan untuk Lebuhraya Pan Borneo.
Beliau turut mengumumkan bahawa projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3) akan diteruskan.
Dilaporkan sebelum ini, kerajaan berhasrat meneruskan pelaksanaan projek MRT3, selepas ditangguhkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
MRT3, atau projek laluan lingkaran MRT3, dijangka membabitkan pembinaan 30 stesen dan 10 stesen penukaran, meliputi parameter Kuala Lumpur dan membuat satu pusingan dari Bukit Kiara ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Ismail berkata, keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan terutamanya Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta peluang pekerjaan.
Bulan lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata negara perlu membelanjakan sejumlah RM300 bilion sehingga 2100 bagi membina projek tebatan banjir.
Dalam persidangan khas Parlimen itu, beliau berkata, pembinaan itu termasuk projek pembangunan infrastruktur air seperti tebatan banjir, pembinaan benteng, ban dan pencegahan hakisan pantai.