
Ahli geologi di Institut Geologis Malaysia (IGM), Ahmad Rosli Othman berkata, ini kerana Semenanjung Malaysia dikelilingi negara gempa seperti Indonesia dan Filipina, yang akan turut mengalami gelinciran tanah, kerosakan infrastruktur dan tsunami seperti gempa bumi mega yang berlaku pada Dis 2004 di Acheh, Indonesia.
“Gempa bumi boleh membentuk sesar-sesar mikro baharu di sekitar titik fokus gempa. Sesar merujuk kepada patahan atau retakan pada batuan dasar dan pada setiap permukaan muka bumi mempunyai banyak retakan ini termasuk di Malaysia.
“Hakikatnya Semenanjung Malaysia memang mempunyai banyak retakan batuan atau sesar yang sudah lama terbentuk sejak puluhan, ribuan atau jutaan tahun dan ia boleh aktif semula atau sebaliknya,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya sesar berkenaan aktif semula, hanya akan berlaku gempa berskala kecil yang mungkin disebabkan pelepasan jasad air di empangan atau tegasan plat bumi.
Katanya, terdapat tiga sesar utama di Semenanjung Malaysia, iaitu sesar Bokbak yang meliputi kawasan dari Perlis sehingga ke Ipoh, Perak; zon sesar Bentong ke Raub, Pahang dan sesar Bebir dari Tumpat, Kelantan ke Johor Bahru, Johor.
“Sesar utama ini secara relatif tidak aktif tetapi ada berlaku gempa berskala kecil yang berkemungkinan disebabkan pelepasan jasad air empangan atau tegasan daripada plat, iaitu masing-masing di dua kawasan di Pahang (Bukit Tinggi dan Lepar) serta Terengganu (Kuala Berang) dan Kedah (Baling).
“Kejadian berlaku di Indonesia kerana ia terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, memang normal ada gempa bumi…cuma bezanya kuat atau tidak sahaja. Gempa bumi kuat di Sumatera kerana berlakunya pertembungan tektonik yang teruk menghimpit plat kecil,” katanya.
Majoriti penduduk di kawasan Pantai Barat Semenanjung, iaitu Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor cemas selepas merasai gegaran susulan gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang berlaku di utara Sumatera pada 9.39 pagi, Jumaat lepas.
Susulan kejadian itu, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Melaka terpaksa ditutup sementara selepas pasukan bomba menemui kesan retakan di lapan tingkat premis itu dipercayai akibat gempa bumi berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Rosli berkata, tindakan sebaiknya jika berlaku gegaran akibat gempa bumi adalah dengan kekal di lokasi asal kerana gegaran atau gempa yang dirasai di negara ini tidak sampai ke tahap memusnahkan.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, kerosakan atau kemusnahan akibat gempa bumi bergantung kepada kekuatan gempa, iaitu skala magnitud, kedalaman dan juga jarak dari pusat gempa.
“Lebih besar magnitud, lebih cetek titik fokus gempa (2-30km) dan lebih dekat dengan pusat gempa maka lebih besar kemusnahan yang akan dialami.
“Bergantung kepada jarak, kesan intensiti yang dirasai atau dilihat manusia boleh diukur melalui skala Modified Mercalli Intensity (MMI),” katanya.
Dari segi aspek pembinaan katanya, kerajaan menerusi Jabatan Standard Malaysia telah menerbitkan “Malaysia National Annex to eurocode 8: Design of structures for earthquake resistance – Part 1:General rules, seismic actions and rules for buildings” untuk diguna pakai di peringkat negara bagi disesuaikan dalam industri pembinaan bangunan dengan mengambil kira tahap daya tahan gempa bumi seperti jenis tanah, nilai Peak Ground Acceleration (PGA), nilai kecerunan, nilai ketebalan tanah dan jenis struktur bangunan.
“Sebarang cadangan pembangunan terutamanya di Kawasan Sensitif Geologi dan pembangunan bangunan tinggi haruslah berpandukan dan merujuk kepada Garis Panduan Pembangunan dan Pengurusan di Kawasan Berisiko Bencana Gempa Bumi (PlanMalaysia, 2018) serta Peta Zon Bencana Sesimik Malaysia bagi Pengurusan Bencana (JMG),” katanya.