
“Kita boleh kenal parti rasuah kerana mereka mendedahkan kesalahan mereka semasa berkempen.
“Umno mendedahkan kesalahan Perikatan Nasional dan Bersatu, dan PN/Bersatu dedahkan korupsi Umno,” kata Pengerusi Pejuang itu dalam surat bertajuk “Surat Tun Dr Mahathir kepada pengundi Johor”.
Mahathir turut membidas bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dengan berkata, PRN pada 12 Mac ini tidak bermakna, jika “parti korup terus dipilih”.
Katanya, terdapat dua “kumpulan” yang bertanding dalam PRN Johor, iaitu parti yang kalah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana korup, iaitu Umno yang dipimpin Najib dan Zahid, manakala satu lagi kumpulan ialah parti baharu yang tiada sejarah salah guna kuasa, iaitu Pejuang dan parti kecil lain.
“Di antara mereka, hanya Pejuang yang meletak calon mencukupi untuk (membentuk) kerajaan.
“Jika Pejuang dipilih, maka akan berlaku pertukaran daripada buruk kepada bersih. Negara akan bebas daripada rasuah, sesuatu yang diperjuang oleh Pejuang.”
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah berkaitan SRC International, manakala Zahid sedang dibicarakan atas 87 tuduhan rasuah.
Mahathir meramalkan jika berlaku pertukaran kerajaan di Johor, maka kemungkinan besar bakal berlaku perubahan dalam kepimpinan kerajaan persekutuan pada PRU15.
“Akan tamatlah kleptokrasi di Malaysia yang tercinta ini. Sebaliknya, dunia akan lihat kembalinya Harimau Asia.
“Ini bukan angan-angan. Ini mampu dilakukan oleh rakyat Malaysia, bermula dengan rakyat Johor.
“Rakyat seluruh negara memerhati PRN Johor. Berilah panduan yang baik kepada mereka,” kata bekas Perdana Menteri itu.