
Ketua Biro Hal Ehwal Antarabangsa Pejuang itu yang fasih berbahasa Inggeris dan lebih memperlihatkan gaya “urban” memang nampak sedikit kekok di Sedili – kawasan yang majoriti pengundinya adalah dari penempatan FELDA.
Malah Tariq bersedia dengan kemungkinan mengalami kekalahan di kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 9,168 undian pada 2018.
Namun katanya, beliau akan terus membantu meningkatkan ekonomi tempatan di Sedili biarpun tewas dalam pilihan raya sulungnya itu.
Katanya: “Jika saya menang, memang bagus. Malah saya akan terkejut. Tetapi jika kalah sekalipun, saya komited di sini. Kita akan mencari cara untuk membangunkan Sedili.
“Saya langsung tidak menyentuh isu politik.Saya bercakap mengenai ekonomi dan bertanya apa yang penduduk mahukan di sini.
“Saya ada beberapa inisiatif yang saya mahu bawa ke sini. Saya ingin memberitahu orang di sini bahawa inilah yang saya boleh tawarkan jika anda mengundi saya, tetapi tidak mengapa jika tidak mengundi. Saya tidak anggap kamu musuh.”
Tariq adalah cucu Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, beliau tidak menguar-uarkan pertalian kekeluargaan itu kerana mahu penduduk Sedili mengenali dirinya seadanya.
Beliau mengakui terkejut apabila mengetahui betapa beliau menyukai Sedili.
“Sejujurnya, saya baru saja jatuh cinta dengan tempat itu. Ia tidak ubah seperti Malaysia 50 tahun yang lalu. Terdapat banyak peluang di sini. Saya rasa ia adalah medan ujian bagaimana kita boleh meningkatkan ekonomi Melayu dan Melayu baharu.”
Tariq bakal berdepan Muszaide Makmur dari BN, Hasnolhadi Mohd Sebalas (Perikatan Nasional) dan Mat Khairi Samsudin (Pakatan Harapan) dalam pilihan raya negeri pada 12 Mac ini.