
Pengasas bersama MUDA dan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Lim Wei Jiet berkata, adalah wajar bagi partinya menyambut baik perkembangan itu kerana ia adalah perjuangan mereka untuk menggalakkan penyertaan belia dalam politik.
Lim memberitahu FMT, beliau percaya BN dan PN cuba mendekati pengundi muda ketika ini selepas Undi18 berkuat kuasa.
Tetapi pada masa sama beliau juga teragak-agak untuk mengatakan kedua-dua gabungan itu sudah mula mengamalkan politik baharu.
“Sesetengah parti politik mungkin meletakkan calon yang lebih muda tetapi akhirnya dipimpin dan dikawal oleh ahli politik korup sama yang lebih berusia,” katanya.
“Ia hanya boleh menjadi permulaan untuk menarik golongan muda. Namun hakikatnya, mereka mungkin masih dibantu dan dipimpin oleh ‘warlord’ sedia ada yang dibenci.”
Ketika mengumumkan calonnya untuk PRN Johor minggu lepas, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 70% daripada mereka adalah muka baharu dan kebanyakannya berumur 55 tahun ke bawah serta mempunyai kelayakan akademik yang tinggi.
Daripada 56 calon PN, 41 adalah muka baharu, dengan 19 calon berusia bawah 40 tahun.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA itu berkata, beliau percaya adalah penting bagi pengundi muda untuk melihat calon sebagai individu sama ada mereka “mampu melaksanakan” dan sama ada mereka “berwibawa dan tidak mengamalkan rasuah”.
Bagaimanapun, beliau berkata, penting juga (bagi pengundi muda) untuk memastikan pilihan bijak dibuat dengan meneliti parti yang diwakili calon.