
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, keputusan PRN Johor akan dijadikan peristiwa penting oleh penyokong Warisan yang pastinya mahu melihat kejayaan dicapai.
Bagaimanapun katanya, PRN Johor juga mungkin menjadi “titik perubahan” kepada tahap sokongan penyokong asal Warisan di Sabah, terutama jika ia gagal memenangi sebarang kerusi.
“Jika Warisan berjaya di Johor, ia juga adalah ‘turning point’ kepada penyokong mereka di Sabah dan mereka akan terus menyokong kerana keyakinan bahawa keputusan Warisan untuk melebarkan sayap ke Semenanjung adalah tepat.

“Namun jika Warisan gagal, ia pastinya jadi titik permulaan keraguan terhadap hala tuju perjuangan parti itu.
“Ia sama seperti kes Presiden SAPP Yong Teck Lee yang keluar daripada BN (Barisan Nasional) dan mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi ketika itu (2010). Apabila tidak menang, persepsi umum terhadap beliau terus menjunam dan implikasinya pada PRU (pilihan raya umum) selepas itu, parti dia kalah terus,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, PRN Johor menjadi medan terbaik untuk Warisan mengatur strategi yang lebih baik pada masa akan datang.

Bagaimanapun katanya, pencapaian Warisan pada PRN Johor tetap akan memberi kesan kepada penyokongnya di Sabah, sama ada momentum mereka meningkat atau sebaliknya.
“Bertanding dalam PRN Johor adalah peluang terbuka kepada semua parti untuk mengukur populariti dan menilai penerimaan rakyat terhadap parti masing-masing.
“Inilah medan terbaik untuk mengatur strategi yang lebih baik pada masa akan datang seperti dilakukan oleh Warisan yang bertanding di enam kerusi di Semenanjung sebagai permulaan.
“Maka keputusan menang atau kalah di Johor akan mempengaruhi kekuatan dan harapan Warisan sama ada lebih besar atau kecil di Sabah menjelang PRU15.
“Kalau menang besar, Warisan akan meningkatkan momentum di Sabah. Namun kalau kalah, maka ramai penyokongnya akan meninggalkan parti dan menyertai parti lain yang lebih berpeluang untuk menang,” katanya.
Warisan yang dipimpin Shafie Apdal membuat penampilan pertamanya pada PRN Johor selepas membuat keputusan untuk melebarkan sayap ke Semenanjung.
Kerusi yang akan ditandingi parti yang dilahirkan di Sabah itu ialah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.