Isu bakar bendera: Maszlee kesal budaya ‘samseng’, ‘buli’ kembali berleluasa

Isu bakar bendera: Maszlee kesal budaya ‘samseng’, ‘buli’ kembali berleluasa

Maszlee menggesa semua parti politik menunjukkan kematangan secara integriti dan 'gentleman'.

Maszlee Malik berkata, laporan polis telah dibuat berhubung isu membakar bendera PKR dan menyerahkannya pihak berkuasa untuk menyiasat.
SIMPANG RENGGAM:
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik kesal budaya ‘samseng’ dan ‘buli’ dibawa kembali dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor susulan insiden membakar serta membuang bendera parti politik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang.

Beliau yang merupakan calon PKR di kerusi tersebut menggesa semua parti politik supaya menunjukkan kematangan serta integriti dan sikap bijaksana.

“Kita tidak mahu budaya samseng ini kembali berleluasa.

“Kalau kita lihat, kita ingin kematangan dalam politik. Kalau boleh politik secara integriti dan ‘gentleman’, bukan budaya samseng serta buli,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Pusat Khidmatnya di Simpang Renggam semalam.

Isnin lalu, polis Johor mengesahkan terdapat insiden membakar dan membuang bendera parti politik di kawasan DUN Layang-layang.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan membuat siasatan menyeluruh termasuk memanggil wakil parti politik bagi membantu siasatan.

Beliau meminta semua penyokong parti yang terbabit dalam PRN Johor supaya bersaing secara sihat dan positif.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, laporan polis telah dibuat berhubung isu membakar bendera PKR itu dan menyerahkannya pihak berkuasa untuk menyiasat.

“Kita sudah buat laporan polis dan kita serah pada polis untuk lakukan siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.