
James Dorsey, felo kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang Singapura berkata, Beijing “akan mengambil petunjuk” daripada cara masyarakat antarabangsa bertindak balas terhadap krisis di Eropah Timur.
“Ini pada asasnya akan membentuk dasarnya sendiri apabila ia bergerak ke hadapan,” katanya kepada FMT.
Selain negara-negara Kesatuan Eropah, banyak negara lain juga mengenakan sekatan ke atas Rusia kerana menceroboh Ukraine. Singapura misalnya, telah mengenakan “sekatan dan halangan yang sesuai”, sementara United Kingdom berkata, ia akan memberi tekanan terhadap Rusia dengan sekatan yang “sangat keras”.

Dorsey percaya reaksi sedemikian “akan memberi isyarat kuat dan jelas di China, walau apa pun yang mereka putuskan untuk melakukannya.”
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Menteri Luar Negeri Anifah Aman bahawa Malaysia boleh “berada di kedudukan yang sama seperti Ukraine”.
Anifah merujuk kepada “kuasa besar yang sentiasa menceroboh perairan kita yang menjejaskan kehidupan dan mata pencarian”.
China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan dan dengan peta yang dikeluarkan menunjukkan sempadannya menghampiri Sabah dan Sarawak. Kapal milik negara itu juga memasuki perairan yang dituntut Malaysia sebelum ini.
Dorsey seterusnya berkata, China adalah kuasa yang memaksa dan cuba mengenakan dasarnya ke atas orang lain.
“Beijing melakukannya dengan ‘kejam’ yang mungkin tidak melibatkan keganasan,” katanya, memetik hubungan Australia-China dan Lithuania-China.
“Kita berurusan dengan negara yang akan melakukan apa sahaja untuk memaksa anda bersama mereka.”
Bagaimanapun, Dorsey tidak percaya bahawa China ketika ini akan menentang Malaysia.
Bekas diplomat Dennis Ignatius bersetuju dengan Anifah dan menyeru Putrajaya mencontohi Singapura dalam mengenakan sekatan.
Ignatius, seorang veteran selama 36 tahun dalam perkhidmatan luar berkata, Malaysia perlu menunjukkan bahawa “kita tidak akan menerima atau mengambil mudah” pencerobohan bersenjata ke atas satu negara oleh negara lain dengan mengambil pendirian yang tegas.
“Ini juga akan menjadi amaran jelas bahawa kita tidak akan menerima pengambilalihan pulau-pulau kita di Laut China Selatan.”
Beliau berkata, jika Putrajaya beranggapan sekatan adalah langkah “melampau”, maka kerajaan sekurang-kurangnya perlu lantang bersuara menentang pencerobohan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang sedang bersidang ketika ini.