Terima kasih calonkan saya jadi Timbalan Speaker, kata Ramli

Terima kasih calonkan saya jadi Timbalan Speaker, kata Ramli

Ahli Parlimen Cameron Highlands itu berkata, pencalonan itu adalah bukti Orang Asli Semenanjung mampu menggalas tugas sebagai Timbalan Speaker.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor julung kali mempengerusikan sidang Dewan Rakyat pada petang Selasa. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mengucapkan terima kasih kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana mencalonkannya sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Ramli dalam kenyataan ringkas berkata, pencalonan itu membuktikan Orang Asli Semenanjung mampu menggalas tugas Timbalan Speaker dalam memastikan sidang Parlimen berjalan lancar.

“Saya berjanji insya Allah akan melaksanakan tanggungjawab ini sebaiknya dengan penuh berintegriti dan saksama atas prinsip kebebasan bersuara dan keperluan berhemah semasa membincangkan sebarang usul demi kepentingan rakyat.

“Moga Allah sentiasa permudahkan dan memimpin saya melaksanakan tugas ini dengan adil dan saksama,” kata Ramli yang merupakan Orang Asli pertama dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Terdahulu, Ramli julung kali mempengerusikan sidang Dewan Rakyat pada petang Selasa.

“Di bawah Peraturan Mesyuarat 7(3) Peraturan Dewan Rakyat, saya telah dilantik oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk ‘memangku’ tugas sebagai Timbalan Speaker pada petang ini,” tulisnya di Facebook.

Menurut laporan Sinar Harian, Dewan Rakyat sesi pagi Selasa sebulat suara meluluskan usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguh ke mesyuarat kedua akan datang.

Penangguhan usul itu dikemukakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsudin.

Oktober lalu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dilaporkan berkata, Ramli dicalonkan bagi mengisi jawatan itu selepas Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said meletak jawatan pada Ogos 2021.

Katanya, pencalonan Ramli turut mendapat persetujuan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.