Permohonan lanjut ceramah ditolak kerana kami pembangkang, kata Teresa

Permohonan lanjut ceramah ditolak kerana kami pembangkang, kata Teresa

Pemimpin DAP itu merayu polis memberi tambahan 30 minit untuk menggantikan masa yang diganggu tarian singa anjuran penyokong MCA dan BN, tetapi ia ditolak.

Teresa Kok kecewa kerana permohonan terbukanya untuk ceramah PH di Batu Pahat dilanjutkan selama 30 minit ditolak pegawai polis bertugas.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok daripada DAP mendakwa pihak berkuasa menolak permohonannya melanjutkan tempoh ceramah Pakatan Harapan di Batu Pahat selama 30 minit hanya kerana mereka adalah pembangkang.

Katanya, beliau merayu polis memberikan masa tambahan 30 minit kerana ceramah PH diganggu tarian singa anjuran penyokong MCA dan Barisan Nasional bersebelahan mereka, tetapi permohonan itu ditolak.

“Sebagai seorang penceramah pada malam tersebut yang menyaksikan ketidakadilan terhadap penganjur ceramah PH pada malam tersebut, dalam ucapan saya telah merayu kepada pihak polis supaya membenarkan tambahan masa 30 minit sahaja untuk menggantikan masa yang diganggu tarian singa dianjurkan penyokong MCA-BN.

“Tetapi, saya kecewa apabila permohonan terbuka saya itu ditolak pegawai polis bertugas. Saya juga rasa polis enggan membenarkan permohonan tambahan 30 minit kami semata-mata kerana PH adalah pembangkang,” katanya dalam kenyataan.

Pada 28 Feb lalu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang menyiasat klip video menunjukkan Kok didakwa mengeluarkan ugutan terhadap polis: “Bila kita jadi kerajaan semula, kamu tahulah nanti” dalam bahasa Cina menerusi ceramah pada 26 Feb.

Kok berkata, beliau sedia memberi kerjasama kepada polis sekiranya siasatan dijalankan terhadapnya.

Bagaimanapun, beliau mahu polis turut menyiasat pelanggaran SOP pilihan raya oleh MCA/BN pada malam itu.

Seorang lagi pemimpin DAP, Ngeh Koo Ham berkata, ceramah PH mendapat kebenaran dari 8 hingga 10 malam, namun bunyi gendang dan simbal tarian singa daripada program MCA amat kuat sehingga menyebabkan ceramah PH tidak dapat dimulakan mengikut jadual.

“Saya telah menelefon (Presiden MCA) Wee Ka Siong sebanyak dua kali, tetapi beliau tidak menjawab panggilan saya. Hanya selepas tarian singa MCA-BN selesai, barulah ceramah PH dapat dimulakan pada 8.30 malam,” jelas Ahli Parlimen Beruas itu.

Ngeh berkata, SOP Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan jelas melarang aktiviti atau ceramah parti politik tidak melebihi 100 orang, tetapi ratusan menghadiri majlis makan malam MCA/BN itu.

“Mengapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap MCA-BN?

“Malah, selepas ceramah PH dipaksa berhenti pada jam 10 malam, program jamuan makan malam MCA-BN masih diteruskan dan lebih seratus orang masih berkumpul di dalam dan luar restoran tersebut.

“Sekali lagi, polis dan pegawai SPR tidak mengambil apa-apa tindakan,” katanya yang kecewa dengan pihak berkuasa didakwa bertindak tidak adil dan berat sebelah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.