Mana bantuan guaman terhadap mangsa gangguan seksual di tribunal, soal Ahli Parlimen

Mana bantuan guaman terhadap mangsa gangguan seksual di tribunal, soal Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Christina Liew berkata ketiadaan wakil guaman dalam Rang Undang-Undang Gangguan Seksual akan menjadi penghalang kepada mangsa untuk tampil ke depan.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew, berkata peguam wajib menemani mangsa gangguan seksual dalam pendengaran tribunal. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen pembangkang Christina Liew (PH-Tawau) menimbulkan persoalan berhubung ketiadaan wakil guaman membabitkan mangsa dalam Rang Undang-Undang Gangguan Seksual, di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika membahaskan titah diraja, Liew berkata, ketiadaan peruntukan itu akan menghalang mangsa untuk tampil dalam pendengaran tribunal berhubung kes gangguan seksual.

“Ini tidak adil kepada mangsa disebabkan kebanyakan mereka bimbang untuk tampil ke depan sekiranya mereka tidak mempunyai peguam mewakili atau menemani mereka dalam pendengaran tribunal,” kata bekas timbalan ketua menteri Sabah itu.

“Ini penting (mempunyai wakil guaman) bagi menjamin keadilan kepada mangsa dalam pendengaran itu.”

Christina Liew.

Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) kemudian mencelah, dan menanyakan soalan mengapa wakil guaman tidak dibenarkan dalam tribunal gangguan seksual, yang mana mahkamah industri, membenarkannya.

Liew juga mengetengahkan gesaan oleh kumpulan hak asasi wanita agar rang undang-undang itu mempunyai “mekanisme tertumpu kepada mangsa”.

Beliau berkata, wujud keperluan bagi mangsa untuk dilindungi daripada sebarang tindak balas selepas pendengaran tribunal sekiranya pelaku adalah majikan atau sesiapa sahaja yang mempunyai kedudukan. Ini akan meletakkan mereka dalam “keadaan malang”, menurutnya.

“Rang undang-undang ini tidak menghalang gangguan pada masa hadapan terhadap pelaku yang sama, di mana jelas meletakkan mereka dalam kedudukan terdedah.

“Saya berharap kelemahan dalam rang undang-undang ini diperbaiki,” katanya.

Pada 15 Dis, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Siti Zailah Yusoff, membentangkan rang undang-undang itu, di Dewan Rakyat bagi bacaan pertama.

Bacaan kedua dijadual dibentangkan dalam sidang Parlimen, bulan ini.

Baru-baru ini, beberapa kumpulan hak wanita mendesak rang undang-undang itu ditambahbaik dengan memasukkan takrifan jelas membabitkan gangguan seksual, dan memberi mandat kepada organisasi (termasuk institusi pendidikan) menangani kes sedemikian dan menyediakan penyelesaian berkesan.

Mereka juga menuntut penubuhan tribunal itu menyiasat aduan gangguan seksual dengan segera tanpa menjejaskan privasi, melindungi daripada menjadi mangsa, menyediakan pemulihan, termasuk pampasan atau permohonan maaf daripada pelaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.