
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, permohonan bekas Perdana Menteri itu supaya tarikh perbicaraan rayuan dilapangkan ditolak menerusi hantaran e-mel pagi tadi.
“Sehubungan itu, tarikh pendengaran dikekalkan sebagaimana dijadualkan,” katanya kepada Bernama menerusi teks pesanan ringkas WhatsApp.
Dua hari lalu, peguam Najib menulis surat kepada mahkamah memohon tarikh pendengaran itu dilapangkan kerana mereka masih mengumpulkan semua nota, bukti dan dokumen berkaitan perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi bagi menyediakan hujah bertulis sebagai tambahan bukti untuk rayuan.
Pada 7 Dis 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dengan memutuskan Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.
Pada hari berikutnya, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyelewengkan RM42 juta dana SRC.
Hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.
Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan.