
Katanya, jumlah itu sekadar andaian kerugian yang dialami pemain industri secara keseluruhan.
Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata, kerugian yang dilaporkan adalah kerugian “beberapa syarikat terjejas”, bukannya mana-mana sebuah syarikat.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, Top Glove Corporation Bhd mengalami kerugian dianggarkan RM3.6 bilion sepanjang tempoh Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) dilaksanakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP).
Angka itu diperoleh daripada data MARGMA, menurut jawapan bertulis yang dilaporkan Bernama.
“Jumlah RM3.6 bilion adalah anggaran kerugian dalam potensi hasil eksport sarung tangan akibat isu WRO.
“Ia bukan kerugian kewangan sebenar mana-mana sebuah syarikat.
“Anggaran kerugian dalam potensi hasil eksport sarung tangan adalah jumlah terkumpul daripada beberapa syarikat terjejas dan berdasarkan pelbagai andaian,” menurut kenyataan MARGMA.
Pada 15 Julai 2020, CBP mengeluarkan WRO ke atas Top Glove atas dakwaan amalan buruh paksa dalam proses pengeluaran, termasuk ikatan hutang pekerja, kerja lebih masa keterlaluan, keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang teruk dan penahanan dokumen pengenalan diri.
Arahan itu dibatalkan dua bulan kemudian, selepas CBP berpuas hati dengan bukti dan tindakan diambil Top Glove, menurut jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang dilaporkan Bernama.
MITI berkata, ia mengadakan sesi libat urus dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur dan ahli MARGMA atas tindakan yang perlu diambil pemain industri untuk mengelakkan larangan dikenakan ke atas produk mereka pada masa depan.