
Dalam wawancara bersama FMT, Ketua Biro Hal Ehwal Antarabangsa Pejuang Tariq Ismail Mustafa mendakwa Pejuang lebih bersifat “centrist” berbanding parti Melayu lain dan berkata, ia berharap untuk memenangi cukup kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor agar dapat terbabit dalam pembentukan kerajaan negeri.
“Ya, anda boleh kata kami pecahkan undi Melayu, tetapi apa yang cuba ditunjukkan Pejuang adalah kami tidak memihak,” katanya.
“Walaupun memegang nasionalisme Melayu, kami menolak ketuanan Melayu dan semua retorik perkauman. Kami mahu tunjuk bahawa orang Melayu boleh bertolak ansur dan bekerjasama dengan kaum lain.”
Tariq, calon Pejuang untuk kerusi majoriti Melayu, Sedili, pada PRN Johor, sebelum ini meninggalkan Bersatu bersama bekas pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad, sejurus selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
Beliau berkata, rakyat Johor dan rakyat Malaysia yang lain sudah letih dengan politik dan inilah sebabnya penekanan perlu diberikan kepada ekonomi dan penjagaan kesihatan.
Pejuang bertanding di 42 kerusi pada PRN Johor dan bersaing dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan PH.
Tariq bertanding dalam pertembungan empat penjuru menentang Muszaide Makmur (BN), Hasnolhadi Mohd Sebalas (PN) dan Mat Khairi Samsudin (PH).
Pada 2018, BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 9,168 undi.
Beliau berkata, Pejuang berharap untuk memenangi kerusi yang mencukupi untuk membentuk blok ketiga dan mempunyai suara dalam susunan kerajaan negeri seterusnya.
Beliau meramalkan PN akan mengalami kekalahan besar dengan berkata tonggaknya, Bersatu, “berpecah di semua belah” dengan ahli-ahlinya meninggalkan parti itu untuk menyertai Pejuang, PKR dan MUDA.
Bersatu memperoleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor daripada Umno selepas pilihan raya umum lalu katanya, namun sukar bagi ADUN ini untuk mengekalkan kerusi kerana kemenangan mereka pada 2018 adalah hasil usaha jentera BN.