Ibu bapa ‘pening’ sekolah swasta tiba-tiba tutup

Ibu bapa ‘pening’ sekolah swasta tiba-tiba tutup

Sekolah swasta di Shah Alam itu dikatakan mengalami masalah kewangan akibat langkah yang diambil akibat pandemik Covid-19.

Ibu bapa kesal dengan tindakan sebuah sekolah swasta di Shah Alam yang mengumumkan penutupannya secara tiba-tiba dan mereka terpaksa mencari sekolah lain untuk menghantar anak masing-masing sebelum bermulanya sesi persekolahan baharu.
PETALING JAYA:
Sebuah sekolah swasta di Shah Alam mengundang kecaman selepas mengumumkan penutupannya secara tiba-tiba hingga menyusahkan ibu bapa mencari sekolah lain untuk menghantar anak mereka sebelum bermulanya sesi persekolahan baharu.

Shestri Ganesh yang menghantar seorang anaknya ke situ berkata, ibu bapa diberitahu mengenai penutupan itu menerusi hantaran mesej pada petang 15 Feb lalu.

Notis itu menyebut hari terakhir persekolahan adalah pada 15 Mei dan sekolah itu telah lumpuh dari segi kewangan akibat langkah-langkah yang diambil untuk menangani pandemik Covid-19.

FMT sedang menunggu maklum balas daripada pengurusan sekolah.

Notis itu juga menyediakan senarai beberapa sekolah lain kepada ibu bapa untuk memindahkan anak mereka.

“Notis itu mengejutkan saya. Lebih memburukkan keadaan, ia juga memaklumkan kepada ibu bapa bahawa satu mesyuarat akan diadakan pada hari keesokannya jam 9 pagi,” kata Shestri.

Pemberitahuan yang dikeluarkan kurang 24 jam itu katanya menyebabkan ramai ibu bapa tidak dapat menghadirinya dan hanya 100 orang yang muncul.

Katanya, pengurusan sekolah tidak menyediakan data mengenai kedudukan kewangannya atau maklumat lain untuk membantu ibu bapa memahami keadaan itu dengan lebih baik.

“Mengapa mereka bersusah payah menghantar invois yuran sekolah kepada ibu bapa pada Dis 2021 untuk tahun berikutnya jika mereka tahu mereka tidak boleh meneruskan perniagaan? Mengapa mereka terus mendaftar pelajar baharu sehingga Februari?”

Seorang lagi ibu yang dikenali sebagai Hafiza memberitahu FMT, dia kecewa dengan cara pihak sekolah mengendalikan situasi itu.

“Mereka sepatutnya memberitahu kami lebih awal supaya dapat membuat persediaan yang diperlukan,” katanya.

Katanya, dia terpaksa mencari sekolah lain untuk memindahkan anaknya yang berusia 15 tahun.

“Ia agak memeningkan kepala dan berasa sekolah hanya bersikap lepas tangan ketika penggal baharu persekolahan akan bermula pada Mac.

“Pengurusan sekolah tidak bertanggungjawab dan saya berasa tertipu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.