DAP rangka pelan tindakan pacu Johor selatan

DAP rangka pelan tindakan pacu Johor selatan

Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong bercakap tentang membuka semula sempadan dan mempromosikan hubungan persekutuan-negeri lebih baik.

Liew Chin Tong berkata, kawasan Greater Johor Bahru memerlukan sistem pengangkutan awam lebih cekap. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
DAP sudah mencadangkan pelan tindakan bagi merangsang pemulihan Johor selatan untuk menunjukkan Pakatan Harapan serius mentadbir negeri itu semula.

Justeru, Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong, menggesa kerajaan membuka semula sempadan Johor-Singapura dengan selamat dan segera melalui kaedah “uji dan lepas” Covid-19 tanpa kuarantin.

Tambahnya, Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) juga perlu diperluaskan kepada pengguna kereta dan motosikal, bukannya terhad kepada bas dan penerbangan.

Liew, yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Perling pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Mac ini, berkata gabungan itu akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyelesaikan kesesakan lalu lintas dan kekurangan tempat letak kereta di Johor selatan.

Liew Chin Tong.

“Dalam jangka panjang, kawasan Greater Johor Bahru memerlukan sistem pengangkutan awam yang cekap, termasuk bas mencukupi, bersih dan menepati masa, serta mod pengangkutan lain, terutamanya selepas RTS (Sistem Transit Rapid) siap pada 2026,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, kerajaan negeri harus membangunkan pasaran sewa yang melindungi pemilik dan penyewa.

Katanya, PH akan memberi tumpuan untuk memupuk hubungan lebih baik antara Putrajaya dan kerajaan negeri.

“Walaupun Putrajaya menguasai pentadbiran, ia tidak semestinya memahami keperluan Johor. Birokrasi di Putrajaya seringkali menghalang potensi Johor untuk berkembang dan maju.

“Hubungan antara negeri dan persekutuan yang baharu dan lebih adil akan membabitkan Putrajaya menurunkan kuasanya dalam aspek penjagaan kesihatan dan pendidikan, serta sebahagian peranan pembangunan ekonomi, kepada kerajaan negeri Johor.

“Tanggungjawab ini boleh dilaksanakan dengan meminta kerajaan persekutuan berkongsi cukai pendapatan yang dikutip dari dalam Johor dengan kerajaan negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.