21 kompaun dikeluar sepanjang kempen PRN Johor

21 kompaun dikeluar sepanjang kempen PRN Johor

Kompaun itu dikeluarkan atas kesalahan umum tidak mematuhi SOP Covid-19.

Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru mengeluarkan kompaun kepada menganjur ceramah mega PH di Skudai semalam kerana melanggar SOP. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengeluarkan 21 kompaun sejak kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor bermula Sabtu lalu, kata Pengarahnya, Dr Aman Rabu.

Setakat 2 petang tadi, katanya, kompaun yang dikeluarkan ke atas individu dan penganjur program termasuk dalam kempen PRN Johor itu disebabkan kesalahan umum tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Saya menasihati semua terus mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Pada 14 Feb lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengarahkan Kementerian Kesihatan mengeluarkan kompaun kepada beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk Bendahari Agungnya, Hishammuddin Hussein, Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad dan Presiden MIC, SA Vigneswaran.

Selain itu, penganjur program tinjauan mesra Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Najib Razak di Parlimen Pulai pada Ahad lalu turut dikompaun.

Sabtu lalu, calon MUDA, Azrol Ab Rahani yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dikompaun RM1,000 kerana gagal mengamalkan penjarakan fizikal, dengan berlaga penumbuk penyokong di luar pusat penamaan calon.

Terbaharu, tiga kompaun berjumlah RM3,000 dikeluarkan kepada penganjur ceramah mega pertama Pakatan Harapan malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.