
Ketika memberi jaminan itu, Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata, walaupun sekolah berkenaan digunakan untuk PRN Johor, namun proses itu tidak akan melibatkan bilik peperiksaan.
“Sebelum ini kita memang berbincang dengan SPR sekiranya boleh agar tidak menggunakan sekolah menengah, namun disebabkan kekangan tertentu, sebanyak 147 sekolah menengah akan digunakan.
“Jadi keputusan dibuat walaupun sekolah itu digunakan, ia tidak akan sentuh bilik peperiksaan. Walaupun ia sukar kerana peperiksaan kali ini hampir semua bilik digunakan kerana menjaga penjarakan yang lebih jauh. Tetapi mereka (SPR) ada kaedah dan sedang usahakan yang terbaik bagi memastikan proses peperiksaan berjalan lancar dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 pada hari pertama berlangsungnya ujian bertulis peperiksaan SPM di sini hari ini.
Radzi berkata, sanitasi juga akan dilakukan sejurus sahaja selesai proses pengundian bagi memastikan kawasan terlibat dinyahcemar dan selamat digunakan kelak.
Peperiksaan bertulis SPM 2021 dijalankan bermula hari ini sehingga 29 Mac manakala PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac dengan pengundian awal pada 8 Mac.
Februari lepas, Radzi berkata, pihaknya berpendirian agar sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi bagi PRN kerana tidak mahu persediaan peperiksaan SPM yang telah disusun atur ‘diganggu-gugat’.