TNB cadang tarif elektrik istimewa untuk perlombongan bitcoin

TNB cadang tarif elektrik istimewa untuk perlombongan bitcoin

Tenaga Nasional Berhad mencadangkan perkara itu untuk dipertimbangkan Suruhanjaya Tenaga bagi mencegah kecurian elektrik kesan aktiviti itu.

Baharin Din (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Abdul Razib Dawood (kiri) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, menunjukkan peralatan pengendali perlombongan bitcoin haram, dalam sidang media, di Putrajaya, hari ini.
PUTRAJAYA:
Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencadangkan kepada Suruhanjaya Tenaga mengenakan tarif istimewa kepada pengendali perlombongan bitcoin, bertujuan mengurangkan kes kecurian elektrik di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Baharin Din, berkata suruhanjaya berkenaan sedang menilai cadangan dikemukakan itu.

Katanya, TNB mengenal pasti sejumlah 610 kes kecurian elektrik membabitkan pengendali perlombongan bitcoin haram pada 2018, namun jumlah itu meningkat kepada 7,209 kes, tahun lalu.

“Kami mengemukakan cadangan (kepada Suruhanjaya Tenaga) bagi menggalakkan pengendali perlombongan bitcoin memohon secara sah mendapatkan bekalan elektrik.

“Kami sudah mencadangkan tarif istimewa bagi tujuan itu. Saya yakin suruhanjaya itu sedang melakukan penilaian berhubung cadangan kami,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Cadangan itu dibuat susulan operasi bersama TNB, SPRM dan polis, dalam menumpaskan sindiket melombong bitcoin di 998 premis di seluruh negara.

Seramai 18 individu ditahan dan TNB menganggarkan jumlah kerugian akibat kecurian elektrik berjumlah RM2.3 bilion.

Sindiket berkenaan yang sudah beroperasi sejak 2018, dipercayai merasuah pegawai TNB sebagai dorongan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap anggota sindiket yang memintas mahupun mengganggu bekalan elektrik.

“Teknik gangguan yang digunakan agak rumit. Perlu benar-benar arif untuk melakukannya,” kata Baharin.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi TNB, Abdul Rahim Ibrahim, berkata beliau bimbang dengan perbuatan kecurian elektrik yang mencetuskan gangguan bekalan elektrik secara mengejut.

“Ada kes di mana berlaku kejadian kebakaran susulan aktiviti haram melombong itu. Ia turut menjejaskan pengguna yang tidak ada kena mengena dengan aktiviti berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.