Gelaran Premier Sarawak berkuat kuasa hari ini

Gelaran Premier Sarawak berkuat kuasa hari ini

Setiausaha Kerajaan Negeri Amar Jaul Samion berkata Pejabat Ketua Menteri pula dikenali sebagai 'Pejabat Premier Sarawak'.

Setiausaha Kerajaan Negeri Amar Jaul Samion berkata, gelaran Premier bagi menggantikan Ketua Menteri berkuat kuasa hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gelaran Ketua Menteri Sarawak kini akan dikenali sebagai “Premier”, manakala Pejabat Ketua Menteri dikenali sebagai “Pejabat Premier Sarawak”.

Setiausaha Kerajaan Negeri Amar Jaul Samion berkata, gelaran itu berkuat kuasa hari ini selepas pindaan perlembagaan negeri diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) 15 Februari lalu.

Sehubungan itu katanya, jawatan Timbalan Ketua Menteri pula dikenali sebagai Timbalan Premier, manakala jawatan Menteri Muda digelar Timbalan Menteri.

Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan Ketua Menteri kepada “Premier” diluluskan oleh DUN negeri itu 15 Februari lalu.

Dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Abdul Karim Rahman Hamzah, rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga selepas 67 ahli dewan menyokongnya, manakala enam menentang.

Semasa menjelaskan penggunaan gelaran “Premier” bagi menggantikan Ketua Menteri mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak, Karim berkata, ia sama seperti yang diamalkan oleh negara Komanwel lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.