Perikatan Borneo? Hanya ura-ura, berita lama, kata aktivis

Perikatan Borneo? Hanya ura-ura, berita lama, kata aktivis

Pengasas MOCS Francis Paul Siah berkata, beliau sudah lama mendengar mengenainya, namun tiada pihak yang benar-benar bekerjasama untuk satu tujuan.

Seorang pemimpin PSB berkata, parti itu dan Warisan mengadakan mesyuarat tidak rasmi untuk membentuk Perikatan Borneo bagi menghadapi PRU akan datang.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis dan penganalisis politik membidas ura-ura mengenai pakatan politik baharu yang berpotensi dibentuk dalam kalangan parti di Sabah dan Sarawak dengan menyifatkannya sebagai “berita lama” dan “pramatang”.

Pengasas Movement for Change Sarawak (MOCS) Francis Paul Siah berkata, perbincangan mengenai sebuah “perikatan Borneo” telah berlangsung selama “20 hingga 30 tahun”.

“Saya sudah lama mendengar mengenai perikatan Borneo dan banyak kumpulan bercakap mengenai agenda yang sama, tetapi tiada yang benar-benar bekerjasama untuk satu tujuan,” katanya.

Minggu lepas, ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) See Chee How mendedahkan bahawa parti itu dan Warisan mengadakan mesyuarat awal tidak rasmi untuk membentuk “Perikatan Borneo” untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, pakatan sebegitu penting untuk menyatukan rakyat Sabah dan Sarawak dan boleh menjadi alternatif kepada pengundi memandangkan Warisan kini mendapat sambutan menggalakkan di Semenanjung.

Francis Paul Siah.

Siah bagaimanapun berkata, tiada objektif yang pasti atau khusus mengenai pembentukan mana-mana pakatan antara parti politik di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, bagi mana-mana pakatan yang nyata dan bermakna untuk rakyat Sabah dan Sarawak bekerjasama wujud, mesti ada titik persamaan, matlamat khusus dan paling penting, faktor penyatuan.

Siah mempersoalkan kemampuan PSB dan Warisan dengan berkata, ia hanya parti kecil di negeri asal mereka.

Menurutnya, satu-satunya perkara yang berjaya dicapai antara Sabah dan Sarawak adalah pindaan perlembagaan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata, untuk sesuatu yang konstruktif berlaku antara kedua-dua negeri, ia perlu melibatkan individu, masyarakat awam atau kerajaan negeri, bukan parti politik.

“Kita sudah bosan dengan ahli politik dan parti politik. Rakyat Sabah dan Sarawak juga tidak begitu percaya atau memandang tinggi ahli politik hari ini.”

Sementara itu, seorang profesor madya di Universiti Malaysia Sabah, Anantha Raman Govindasamy berkata, terlalu awal untuk membincangkan perihal mesyuarat tidak rasmi antara PSB dan Warisan bagi pembentukan Perikatan Borneo.

Anantha Raman Govindasamy.

“Apa yang lebih mendesak pada peringkat ini adalah parti-parti ini harus menumpukan kepada usaha mengukuhkan kedudukan mereka di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tambahnya, idea yang sama pernah dicetuskan oleh Jeffrey Kitingan di bawah apa yang disebut sebagai “Perikatan Borneo Bersatu” pada 2012, tetapi tidak membuahkan hasil.

Anantha berkata, pakatan yang dicadangkan itu akan menjadi bermakna jika parti-parti itu mendapat mandat yang jelas daripada rakyat Sabah dan Sarawak.

“Pada ketika ini, saya tidak nampak perkara itu akan berlaku, terutamanya bagi PSB.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.