Kerajaan tiada kemampuan hapus tol, kos terlalu besar, kata menteri

Kerajaan tiada kemampuan hapus tol, kos terlalu besar, kata menteri

Sistem RFID membenarkan kira-kira 1,000 kenderaan melalui tol dalam satu jam berbanding hanya 450 kenderaan bagi kad Touch N' Go dalam tempoh sama.

Fadillah Yusof berkata, kerajaan sedang berunding dengan pelbagai pihak untuk memuktamadkan situasi menang-menang yang tidak membebankan pengguna lebuh raya dan kerajaan berhubung isu tol.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tiada kemampuan untuk menghapuskan tol di semua lebuh raya kerana pampasan besar perlu dibayar kepada pemilik konsesi, kata Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof.

Beliau berkata, tol percuma yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 juga tidak dapat direalisasikan gabungan itu kerana mereka sedar realiti yang perlu ditanggung kerajaan dari segi kewangan.

“Walaupun itu janji mereka, tetapi penghapusan tol itu tidak dapat dilaksanakan kerana mereka sedar dari segi realitinya kos yang perlu ditanggung kerajaan untuk bayar pampasan amat besar sekali,” katanya di Dewan Rakyat.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, kerajaan sedang berunding dengan pelbagai pihak untuk memuktamadkan situasi menang-menang yang tidak membebankan pengguna lebuh raya dan kerajaan berhubung isu tol.

Fadillah Yusof.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah Mohd Fakih (Sabak Bernam-PN) sama ada kerajaan bercadang untuk menghapuskan tol pada masa depan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, projek rintis pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua plaza tol seluruh negara bertujuan mengurangkan kesesakan trafik di plaza tol.

Katanya, sistem RFID membenarkan kira-kira 1,000 kenderaan melalui tol dalam masa sejam berbanding hanya 450 kenderaan dengan menggunakan kad Touch N’ Go dalam tempoh sama.

“Dalam jangka panjang, apa yang kita nak laksanakan adalah tiada lagi sistem gunakan palang tol…maknanya kita akan pintas lalu.

“Kesannya ialah dapat kurangkan kesesakan di plaza tol. Itu yang kita sasarkan. Berdasarkan data, pengguna RFID kini meningkat kepada 18% berbanding hanya 11% sebelum ini,” katanya.

Pada 16 Dis lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Jan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.