
Dalam kenyataan hari ini, Pengurus Besarnya, Mohamed Shafieek Sultan Mohammad, menjelaskan bahawa tindakan itu dibuat selepas majoriti ahli jawatankuasa amnya bersetuju mengambil keputusan berkenaan.
“Keputusan melarang penjualan dan pengambilan alkohol dibuat oleh majoriti ahli jawatankuasa am kelab, bukannya Setiausaha Kerajaan Selangor seperti dilaporkan,” katanya.
Peraturan baharu oleh jawatankuasa itu berkuat kuasa 12 Feb lalu. Ahli dan tetamu juga dilarang membawa masuk alkohol ke premis berkenaan.
Sebelum ini, dilaporkan larangan penjualan alkohol dilaksanakan bagi mematuhi arahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor.
Sejak berita larangan itu tersebar, beberapa ahli senior Kelab Shah Alam bersedia melepaskan keahlian mereka jika penjualan dan pengambilan alkohol terus dilarang dalam premisnya.
““Kenapa pengurusan tidak boleh mempertimbang mengurangkan waktu operasi supaya bar dibuka? Buat masa ini, kami hanya dibenarkan minum di tingkat atas.
“Hanya pendekkan waktu operasi untuk menunjukkan kelab ini terbuka kepada semua, bukan hanya individu tidak minum alkohol,” kata seorang ahli.
“Kami berharap keputusan itu akan dipertimbangkan semula,” katanya.
Menekankan kekecewaan berhubung larangan terbabit, seorang lagi ahli kelab itu berkata, ahli kelab sebelum ini terdiri daripada berbilang kaum, merangkumi ahli daripada pelbagai lapisan masyarakat yang bersukan dan bersosial bersama-sama.
Keputusan larangan itu menyamai tindakan sama oleh Ayer Keroh Country Club susulan arahan daripada kerajaan negeri pada Disember lalu.