BN takkan buang masa bincang pelaksanaan manifesto, kata Hasni

BN takkan buang masa bincang pelaksanaan manifesto, kata Hasni

Pengerusi BN Johor itu berkata, mereka sudah mempunyai rancangan untuk terus melaksanakan janji dalam manifestonya.

Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad berkata, enakmen antilompat parti akan menjadi agenda pertama gabungan itu, jika ia menang PRN pada 12 Mac ini.
JOHOR BAHRU:
Barisan Nasional (BN) tidak akan membuang masa membincangkan pelaksanaan manifestonya, jika ia memenangi pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata Hasni Mohammad.

Pengerusi BN Johor itu yang juga calon Menteri Besar gabungan itu berkata, mereka sudah mempunyai rancangan untuk terus melaksanakan janji dalam manifestonya yang bertemakan “ikhtiar BN Johor untuk kestabilan masa depan”.

“Kita tak nak buang masa rakyat dengan berbincang siapa nak buat itu ini, semuanya sudah sedia,” katanya selepas melancarkan manifesto BN hari ini.

“Kita tak berlengah-lengah dalam melaksanakan amanah diberi rakyat kepada wakil rakyat dipilih. Ia telah sedia, program sudah disusun, bidang dan sektor yang harus diberi tumpuan telah dikenal pasti, semua sudah dirangka dan tunggu kerajaan baharu ditubuhkan untuk laksana dalam tempoh lima tahun.”

Hasni berkata, antara reformasi politik yang akan dilaksanakan BN jika menang PRN Johor ialah membentangkan enakmen antilompat parti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, BN akan mencadangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang mempunyai terlalu ramai pengundi kerana ada beberapa kawasan dengan lebih 100,000 pengundi layak.

Beliau berkata, mustahil untuk wakil rakyat berkhidmat dengan baik kepada rakyat dalam kawasan ramai pengundi.

Katanya, BN akan memastikan peruntukan sama rata diberikan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk wakil pembangkang yang penting sebagai semak dan imbang kepada pentadbiran serta kerajaan negeri.

“Tak guna ada pembangkang ‘yes man’, setuju sahaja kerajaan buat apa. Pembangkang perlu menjadi semak dan imbang, sama ada dalam merangka belanjawan atau berunding dalam soal melibatkan dasar negeri.”

Beliau juga berikrar BN akan terus menggesa sempadan Singapura dibuka semula sepenuhnya atau secara berperingkat mengikut keutamaan sektor, termasuk pembinaan dan perkhidmatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.