
Che Hasniza Che Omar, 45, berkata hatinya luluh apabila mengetahui rumah pusaka miliknya yang diduduki lebih 27 tahun, musnah dibawa arus deras Ahad lalu, ketika dia berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.
“Saya sekeluarga berpindah ke PPS pada petang Sabtu, selepas air mula memasuki kawasan penempatan kami.
“Semalam, saya pulang untuk melihat keadaan rumah dengan harapan rumah saya tidak dihanyutkan, namun setelah melihat depan mata, saya berasa sangat sedih kerana rumah pusaka hanyut dibawa arus sejauh 200 meter dari tapak asal,” katanya hari ini.
Ibu kepada enam anak itu berkata, dia sekeluarga kini buntu mencari tempat berteduh kerana pendapatan bulanan tidak mencukupi untuk membina rumah sendiri dalam masa terdekat.
Seorang lagi penduduk yang mengalami nasib sama, Mohd Huraini Mohd, 40, pula berharap kerajaan atau mana-mana agensi sudi membantu membina rumah untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal.
“Ini merupakan banjir terburuk setakat ini sehingga menghanyutkan rumah saya, malah rata-rata penduduk mendakwa antara punca kejadian ini disebabkan pembinaan benteng projek tebatan banjir di Kampung Lanchang Fasa Satu yang menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik.”