
Beliau berkata, berdasarkan rekod pihaknya, trend rasuah di Sarawak dilihat tidak meningkat dan lebih stabil.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan kerajaan Sarawak memberi penekanan kepada kes melibatkan tuntutan palsu dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam, yang boleh mendatangkan kerugian, sekiranya terus dibiarkan berlaku.
Beliau berkata demikian ketika diminta memberi pandangan mengenai “Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah: Cabaran dan Masa Hadapan” pada Majlis Amanat Perdana Integriti 2022 di sini, hari ini.
Azam berkata, 72 kes tuntutan palsu dan 25 kes salah guna kuasa dilaporkan dari 2017 hingga 2021, dengan 34 tangkapan berhubung tuntutan palsu dan 24 kes salah guna kuasa dikesan dalam tempoh berkenaan.
Katanya, mungkin ada penjawat awam tidak memahami undang-undang berkaitan penyalahgunaan kuasa, sehubungan itu beliau meminta SPRM Sarawak melancarkan lebih banyak program pendidikan bagi meningkatkan lagi pemahaman berhubung perkara itu.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Abang Johari Openg memberikan sokongan baik kepada SPRM dalam melaksanakan tugasnya.
“SPRM akan menyokong kerajaan Sarawak dalam meningkatkan tadbir urus dan integriti dalam kalangan penjawat awam, mempunyai Unit Integriti dan Ombudsman serta kira-kira 80 pegawai integriti bertauliah itu menunjukkan jenis inisiatif yang dilakukan kerajaan Sarawak.”