‘Sujud syukur’, bekas Timbalan Pengarah DBKL kekal lepas tuduhan rasuah RM150,000

‘Sujud syukur’, bekas Timbalan Pengarah DBKL kekal lepas tuduhan rasuah RM150,000

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid mendapati Mahkamah Tinggi tiada alasan untuk mengubah atau mencampuri keputusan Mahkamah Sesyen.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 April 2021 melepas dan membebaskan Sabudin Mohd Salleh daripada pertuduhan menerima rasuah RM150,000 pada 2018. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh melakukan sujud syukur sebaik sahaja Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan keputusan melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan menerima rasuah RM150,000 empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 April tahun lepas yang melepas dan membebaskan Sabudin daripada pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, Azhar berkata, mahkamah telah meneliti keseluruhan rekod rayuan, alasan penghakiman, hujahan bertulis dan lisan pihak perayu serta responden.

“Saya dapati mahkamah ini tiada alasan untuk mengubah atau mencampuri keputusan yang diberikan hakim Mahkamah Sesyen. Oleh itu, rayuan perayu (pendakwaan) ditolak,” kata Azhar.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala peguam K Theivaendran mewakili Sabudin, 60, selaku responden.

Sementara itu, Wan Shaharuddin ketika ditemui media berkata, pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Pada 13 April 2021, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Sabudin daripada pertuduhan rasuah pada akhir kes pendakwaan.

Seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Sabudin, bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, didakwa menerima RM150,000 daripada pengarah sebuah syarikat sebagai dorongan memperakui sijil bayaran kemajuan tuntutan yang dikemukakan beberapa syarikat.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana di sini, antara 13 dan 19 Ogos 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.