Bantu mangsa banjir di Terengganu, ‘Abang Viva’ kembali dengan 4×4

Bantu mangsa banjir di Terengganu, ‘Abang Viva’ kembali dengan 4×4

Azwan Omar menerusi video di Facebook memaklumkan tiba di Terengganu pada 4.50 pagi tadi.

Video yang dimuat naik oleh Azwan Omar di Facebook menunjukkan dia selamat tiba di Terengganu awal pagi tadi untuk membantu penduduk di negeri itu.
PETALING JAYA:
Pemuda dari Melaka yang sebelum ini menjadi tular kerana membantu mangsa banjir di Selangor menggunakan Perodua Viva dan sebuah bot, kini tiba di Terengganu awal pagi tadi untuk membantu mangsa bencana di negeri itu.

Azwan Omar atau lebih dikenali dengan gelaran “Abang Viva” memuat naik klip video di Facebook memaklumkan dia tiba di Terengganu pada 4.50 pagi tadi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Azwan mengesahkan dia tiba di kawasan Pantai Timur menaiki kenderaan pacuan empat roda yang baharu diterimanya, namun tidak boleh mengulas lanjut kerana sedang dalam misi menyelamat mangsa banjir.

“Saya dah sampai Terengganu pukul 4.50 pagi, kalau sesiapa ada info kawasan yang masih teruk boleh kongsikan kerana di sini air dah mula surut,” katanya dalam video itu.

Dalam siaran secara langsung itu juga dapat dilihat Azwan menaiki Mitsubishi Triton yang dihadiahkan usahawan kosmetik, Wan Siti Aisyah Wan Hasan, bulan lepas.

Dia turut ditemani beberapa individu lain dipercayai kenalannya dan bergerak secara konvoi.

Sebelum ini, kisah Azwan tular di media sosial kerana sanggup meredah kepayahan dari Melaka ke Selangor untuk menyelamatkan mangsa banjir dengan berbekalkan wang RM50 untuk mengisi minyak kereta dan membeli makanan dengan menggunakan Perodua Viva untuk mengangkut sebuah bot di atas bumbung kenderaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.